bisnes

2021, 2022 tahun istimewa tarik pelabur

Oleh Mohamed Farid Noh

Muar: Malaysia mengiystiharkan tahun ini dan 2022 sebagai tahun istimewa buat pelabur dengan tawaran insentif tambahan lebih menarik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Kementerian Kewangan akan memperincikan insentif tambahan tahun istimewa berkenaan bagi menjadikan negara sebagai lokasi pilihan pelabur asing.

"Malaysia masih tidak tertinggal di belakang dan masih satu daripada destinasi pelaburan utama.

"Pada masa ini kita bukan sahaja nak pelabur asing malah pelabur domestik supaya sama-sana ambil bahagian.

"Saya juga putuskan supaya dua tahun ini iaitu tahun ini dan tahun depan, sebagai tahun istimewa untuk kita tawarkan insentif tambahan khusus buat menarik pelaburan dan pelabur melabur ke negara ini," katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengulas mengenai usaha kerajaan menarik pelaburan langsung asing (FDI) pasca Covid-19.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1, di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kerja raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Malaysia masih terus menjadi destinasi pelaburan pilihan utama pelabur asing.

Katanya,negara terus menjadi tumpuan pelabur asing walaupun dalam keadaan penularan wabak Covid-19, yang menyebabkan modal global semakin menguncup selain persaingan negara lain yang berusaha keras menarik pelabur.

"Pelabur kini akan memilih sama ada negara atau wilayah yang menawarkan insentif paling menarik dan terbaik sebelum membuat pelaburan mereka," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, DRB-HICOM Bhd dan Malakoff Corporation Bhd (Malakoff), dua anak syarikat milik ahli perniagaan terkenal, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, menyatakan minat untuk membuat pelaburan di Zon Ekonomi Khas Pagoh.

"Syed Mokhtar mengesahkan untuk memindahkan sebahagian daripada kilang komponen memproses pengeluaran produk automatif Proton di Tanjung Malim, Perak,ke Pagoh.

"Malakoff juga turut berminat untuk membangunkan kilang bagi mengeluarkan panel solar untuk jana kuasa solar di Pagoh.

"Saya sangat mengalu-alukannya dan berharap kedua pembangunan ini akan dibangunkan pada Fasa 1 projek Zon Ekonomi Khas Pagoh," katanya.

Sime Darby Property Bhd akan membangunkan fasa pertama Zon Ekonomi Khas Pagoh seluas 343.9 hektar untuk menempatkan Taman Perindustrian dan Taman Keusahawaan dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.1 bilion.

Pembangunan kedua-dua komponen itu akan mengambil masa antara lima hingga tujuh tahun untuk dibangunkan sepenuhnya.

Disiarkan pada: March 27, 2021 @ 4:43pm
d