bisnes

Empat juta sertai ekonomi gig

Oleh Farah Adilla

EKONOMI gig dijangka kekal dalam pasaran memandangkan semakin ramai individu memilih cara alternatif untuk mencari pendapatan selepas berdepan risiko kehilangan pekerjaan pasca-Covid-19.

Pengarah Eksekutif, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, terdapat peningkatan jumlah penyertaan dalam ekonomi gig khususnya selepas munculnya pandemik Covid-19.

"Ketika ini terdapat kira-kira empat juta individu menyertai ekonomi gig berbanding hanya sekitar setengah juta sebelum Covid-19.

"Kita tahu ramai orang mempertimbangkan dan beralih ke ekonomi gig ketika pandemik ini kerana pekerjaan menjadi lebih sukar diperoleh. Saya akan mengatakan ekonomi gig akan terus bertahan sama ada berlaku pemulihan atau tidak (Covid-19).

"Sudah tentu kita mengharapkan pemulihan. Mengikut cara yang dilakukan sekarang, ekonomi gig akan terus ada dan ia akan meningkat pada masa akan datang," katanya dalam rancangan Money Matters di TV3 dalam perbincangan bertajuk How the Labour Market is Changing in 2021, baru-baru ini.

Shamsuddin berkata, walaupun program imunisasi dilaksanakan namun pasaran pekerjaan kekal mencabar pada suku kedua dan ketiga tahun ini.

Kadar pengangguran meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei tahun lalu berbanding 5.0 peratus pada April tahun lalu membabitkan peningkatan daripada 47,300 kepada 826,100 individu, menurut angka dikeluarkan Jabatan Perangkaan.

Pada Disember tahun lalu, kadar pengangguran menurun sedikit kepada 4.8 peratus namun meningkat semula ke 4.9 peratus pada Januari 2021 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Shamsuddin berkata, pihaknya menjangka kadar itu akan bertambah baik menjelang akhir tahun ini.

"Ia bergantung sepenuhnya berapa pantas kita dapat mencapai imuniti kelompok.

"Sejurus kita mencapai sasaran itu, keyakinan pengguna akan meningkat dan keyakinan majikan juga meningkat.

"Ketika itu saya yakin pasaran khususnya di peringkat tempatan akan lebih rancak," katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2021 @ 6:55am
d