bisnes

Basikal jalan paling laku di Malaysia

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Malaysia berada di tempat kedua sebagai pasaran yang mencatatkan jualan basikal tertinggi pada tahun lalu dengan jumlah hampir 18,000 basikal terjual.

Berdasarkan angka dicatatkan di Carousell, trend penjualan basikal mula meningkat sejak suku keempat 2020, dengan trend ini berterusan dalam dua bulan pertama 2021.

Sebanyak 63,345 transaksi telah dilakukan di Hong Kong, Malaysia dan Singapura.

Menurut data dikeluarkan Carousell, ketika pandemik Covid-19 merebak ke seluruh dunia pada tahun 2020, permintaan terhadap peralatan kecergasan mula meningkat pada Mac 2020, dan mencecah puncak baharu pada Ogos 2020.

"Ia diikuti dengan permintaan untuk basikal dan muncul sebagai trend baharu di rantau ini.

"Purata transaksi bulanan juga meningkat sekitar 44 peratus pada separuh kedua 2020 berbanding separuh pertama, dengan purata lebih 6,000 basikal dijual setiap bulan.

"Trend ini terus menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan bagi pengguna untuk menyenaraikan basikal yang tidak digunakan dan peniaga yang mahu memanfaatkan trend ini. Malaysia juga telah bertahan dengan lebih 2,000 transaksi sebulan sejak November 2020," katanya.

Menurutnya, jumlah carian untuk basikal di Hong Kong, Malaysia dan Singapura bertambah sebanyak 1.6 kali ganda kepada 18.5 juta pada tahun 2020.

"Permintaan masih meningkat di rantau ini, dengan purata 1.6 juta carian untuk basikal setiap bulan pada tahun 2021.

"Malaysia melakukan lebih 160,000 carian sebulan, manakala Singapura menyaksikan minat yang paling banyak iaitu lebih sejuta carian.

"Ini sesuai dengan trend carian keseluruhan di Malaysia, di mana Google melaporkan peningkatan 250 peratus dalam carian untuk istilah "basikal senaman" dalam laporan 'Year In Search 2020: Malaysia' mereka.

"Jenis basikal yang paling popular di Malaysia adalah basikal jalan, sama seperti Hong Kong.

"Basikal lasak (mountain bike) pula yang kedua popular di Malaysia, sama seperti Singapura.

"Jenama Amerika Syarikat (AS), Specialized menjadi pilihan paling popular di Malaysia, sementara Singapura lebih sukakan jenama British (Brompton) dan Hong Kong pula lebih gemarkan jenama AS (Dahon)," katanya.

Menurut data berkenaan, basikal terpakai menjadi pilihan utama di seluruh rantau ini dengan 70.29 peratus transaksi.

Malaysia melepasi trend ini dan berada di kedudukan teratas dengan 76.04 peratus transaksi bagi basikal terpakai, manakala Hong Kong di tempat kedua dengan 72.46 peratus dan Singapura pula terkecuali dengan 34.34 peratus.

"Dengan permintaan yang tinggi untuk basikal, harga basikal terpakai di Carousell juga menjadi kompetitif. Contohnya, harga jualan bagi model basikal jalan Giant TCR Advanced 1 Disc KOM tahun ini adalah RM13,499, tetapi ia boleh didapati di Carousell pada harga RM9,998," katanya.

Sementara itu, Pengurus Negara, Carousell Malaysia, Tang Siew Wai berkata, sebagai platform pasaran pengiklanan, ketersediaan penyenaraian ini adalah disumbangkan oleh pengguna.

"Membandingkan bagaimana transaksi untuk basikal yang semakin meningkat di Carousell dengan pertumbuhan carian yang pesat, kita boleh lihat bahawa permintaan sekarang melebihi penawaran.

"Ini bermakna masih ada potensi pertumbuhan untuk pengguna biasa dan penjual perniagaan untuk datang ke Carousell dan menjual basikal mereka kepada kumpulan pembeli yang sedia ada serta memperoleh pendapatan tambahan," katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2021 @ 6:53pm
d