bisnes

Ekonomi berkembang hingga 7.5%

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

EKONOMI Malaysia diunjur berkembang antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus pada 2021 berbanding penguncupan 5.6 peratus yang dicatatkan tahun lalu.

Ia disokong oleh faktor domestik seperti penggunaan dan persekitaran luaran yang lebih baik selain program vaksinasi menjadi kunci utama mendorong pemulihan ekonomi negara.

Malah, ekonomi negara juga akan melonjak ke paras praCovid-19 menjelang pertengahan tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus (gambar) berkata, selain pelaksanaan program vaksinasi, peningkatan secara berperingkat situasi tenaga buruh negara, sokongan dasar yang berterusan untuk isi rumah dan perniagaan serta permintaan luaran yang semakin baik di tengah perkembangan teknologi akan memacu pemulihan ekonomi.

"Ekonomi Malaysia akan pulih kembali pada 2021 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai tahap seperti sebelum Covid-19 menjelang pertengahan tahun ini," katanya pada sesi taklimat bersama pengarang media, kelmarin.

Menurutnya, sektor pembinaan dijangka meningkat 13.4 peratus pada 2021 berbanding -19.4 peratus pada 2020, sektor perkhidmatan berkembang 6.6 peratus pada 2021 (-5.5 pada 2020) sementara sektor pembuatan lebih tinggi sebanyak 8.8 peratus pada 2021 (-2.6 peratus pada 2020).

Sektor pembuatan pula meningkat 8.8 peratus pada 2021 (-2.6 peratus pada 2020) sementara sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menokok 4.2 peratus pada 2021 daripada -2.2 peratus pada 2020.

"Dalam unjuran, kami mengandaikan imuniti kelompok akan hanya dicapai pada suku pertama 2022.

"Kami turut mengandaikan sempadan antarabangsa akan terus ditutup tahun ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan lebih bersasar," katanya.

Sementara itu, menurutnya, program vaksinasi dianggap sebagai kunci utama pemulihan ekonomi negara.

"Risiko penurunan adalah jika berlaku sekatan pergerakan secara meluas bagi mengekang penularan dan program vaksinasi yang lebih perlahan daripada jangkaan.

"Pelancaran vaksin sangat penting untuk pemulihan ekonomi kerana krisis semasa adalah krisis kesihatan," katanya.

Oleh itu, Nor Shamsiah berkata, pelancaran vaksin di Malaysia secara berfasa yang dimulakan pada akhir Februari akan membantu pertumbuhan kerana ia menyokong pemulihan dalam pekerjaan dan pendapatan dengan meningkatkan sentimen pengguna serta memudahkan aktiviti ekonomi secara beransur-ansur untuk kembali kepada normal.

Seiring dengan itu, ekonomi global juga sudah bersedia untuk bangkit semula tahun ini dan berkembang sebanyak 5.5 peratus selepas kemerosotan teruk dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan pada tahun 2020.

"Kegiatan ekonomi global akan didorong oleh pelancaran vaksin dan sokongan dasar yang berterusan, terdiri daripada rangsangan fiskal dan monetari yang besar bagi menangani kesan pandemik terhadap pertumbuhan," katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2021 @ 7:00am
d