bisnes

Jenama semula 62 cawangan tahun ini

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LOTUS'S Stores Malaysia (Lotus's Malaysia) merancang untuk melancarkan cawangan kedua dan ketiga masing-masing di Pulau Pinang dan Johor pada Mei ini.

Presiden Lotus's Malaysia, Kenneth Chuah berkata, secara kolektif, ia menyasarkan untuk menjenamakan semula 15 cawangan sedia ada iaitu di Ara Damansara, Cheras, Selayang, IOI City, The Mines, Bandar Bukit Puchong, Klang, Mutiara, Paradigm, Puchong, Setia Alam, Shah Alam, Bukit Indah, Plentong, dan Seremban 2 pada akhir Jun.

"Lotus's berharap dapat menjenamakan semula kesemua 62 cawangan menjelang akhir 2021.

"Malah, dalam tempoh beberapa bulan akan datang juga, Lotus's Malaysia turut akan mengukuhkan lagi kehadiran jenama melalui platform e-dagang serta saluran e-dagang lain seperti Lazada, Shopee, HappyFresh dan foodpanda," katanya pada majlis pelancaran cawangan pertama Lotus's Malaysia di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi, Sushmita Paul; Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Korporat, Azliza Azmel; Pengarah Eksekutif Pelanggan, Vivian Yap serta Pengarah Eksekutif Kewangan dan Perakaunan Negara Yvonne Yong.

Lotus's Malaysia adalah penjenamaan semula Tesco Malaysia selepas Tesco Group UK menjual operasinya di Thailand dan Malaysia kepada konglomerat Thailand, Charoen Pokphand Group Co Ltd (CP Group) pada Disember lalu.

Kenneth berkata, Lotus's Malaysia turut membuat penjenamaan semula produk Tesco seperti nuget, ayam goreng, susu UHT, makanan kucing dan sebagainya sebagai komitmen memberikan kualiti serta nilai terbaik kepada pelanggan.

Beliau berkata, melalui cara itu pembekal tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana yang bekerjasama dengan Tesco sebelum ini dapat diteruskan.

"Kami juga akan mempertingkatkan aplikasi berbelanja sedia ada iaitu scan and shop, order and collect selain menyediakan kaunter layan diri di sembilan lagi gedung," katanya.

Menurutnya, ia turut memiliki rangkaian beli-belah dalam talian paling meluas di Malaysia dengan lebih 100 trak penghantaran dan operasi di Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka, Negeri Sembilan serta Ipoh.

"Kami ingin dikenali sebagai pilihan SMART kepada pelanggan iaitu mudah, motivasi, tangkas, bertanggungjawab dan transformasi untuk menggembirakan pelanggan serta memperoleh kepercayaan mereka," katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2021 @ 7:20am
d