bisnes

Petronas tawar mata ganjaran 3 kali ganda

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Bhd (PDB) mengumumkan satu sistem yang membolehkan pelanggan mengutip mata ganjaran sehingga tiga kali ganda bagi pembelian setiap liter minyak menerusi aplikasi Setel mulai 1 April hingga 30 Jun 2021.

Sistem peningkatan baharu itu merangkumi tiga kategori iaitu junior, explorer dan hero bergantung kepada jumlah pembelian terbabit.

Ketua Perniagaan Runcit PDB, Khalil Muri berkata, pelanggan yang melakukan transaksi menerusi aplikasi Setel dalam tempoh itu, akan meraih mata bonus Mesra masing-masing sebanyak 1.5 kali, dua kali dan tiga bagi setiap liter.

"Usaha pendigitalan program kesetiaan Mesra itu membolehkan pelanggan dapat mengutip dan menebus mata ganjaran selain menjejaki mata yang diperoleh masing-masing dengan mudah menerusi aplikasi Setel atau di app.setel.my tanpa kad fizikal Mesra.

"Selain itu, kami akan turut memberi 10 kali mata Mesra kepada pengguna baharu Setel dalam tempoh promosi ini bagi menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunapakai penyelesaian digital kami," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pengguna kali pertama perlu mendaftar bagi mendapatkan akaun Setel dan memasukkan kod promosi 'c-tenx' untuk layak meraih 10 mata Mesra bagi setiap RM1 dibelanjakan dalam aplikasi Setel meliputi tempoh 30 hari pertama selepas pendaftaran yang dihadkan kepada maksimum 800 mata.

Untuk mengumpul lebih banyak mata, pelanggan boleh melakukan transaksi melalui aplikasi berkenaan termasuk tambah nilai e-dompet Setel, bayar barangan di Kedai Mesra, bayar perkhidmatan Deliver2Me dan bayar petrol di stesen Petronas.

Disiarkan pada: April 2, 2021 @ 7:55am
d