bisnes

Kedai Ayamas lebih santai, moden

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: KARA Holdings Sdn Bhd iaitu pengendali Kedai Ayamas merancang membuka lima cawangan baru selewat-lewatnya Mei ini di Terengganu, Pulau Pinang, Lembah Klang dan Putrajaya.

Pengarah Eksekutifnya, Abdul Rahman Md Dawi berkata, pembukaan cawangan baharu itu selari dengan hasrat pihaknya yang mensasarkan pembukaan lebih 100 outlet menjelang 2023.

Katanya, walaupun dalam keadaan ekonomi yang terjejas serta pandemik Covid-19 melanda seluruh negara, namun pihaknya masih mampu bertahan dalam industri makanan ini dengan membuka lebih banyak cawangan pada masa akan datang.

"Pembukaan cawangan baharu itu akan menggunakan konsep baharu yang dikenali sebagai 'Design 2021' iaitu lebih santai, moden dan mengikut trend semasa.

"Dengan konsep yang diketengahkan ini, kita harap dapat 'memikat' lebih ramai pelanggan dalam kalangan orang muda untuk masuk dan membeli makanan di kedai ini.

"Seperti yang kita tahu, jenama Kedai Ayamas ini sudah 33 tahun dan ia lebih dikenali dalam kalangan yang lebih berusia, jadi kita harap dengan konsep santai dan lebih mesra pelanggan ini ia akan memikat golongan muda pula," katanya kepada Harian Metro ketika pembukaan outlet Kedai Ayamas yang ke-66 serta konsep baharu yang diperkenalkan di Presint 15, di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, pemilihan Putrajaya bagi memperkenalkan konsep baharu bertepatan kerana pihaknya mendapati kawasan terbabit banyak didiami oleh golongan muda.

Tambah Abdul Rahman, bersempena dengan pembukaan Kedai Ayamas Putrajaya itu, pelbagai tawaran menarik turut diberikan kepada pelanggan antaranya pelanggan pertama dan ke-66 berpeluang memenangi ayam panggang percuma selama enam bulan, manakala 100 pelanggan bertuah menerima cenderahati istimewa.

Disiarkan pada: April 3, 2021 @ 3:14pm
d