bisnes

Cari 10 usahawan wanita bantu pasar produk ke luar negara

OIC International Business Centre Sdn Bhd menyasarkan memperoleh dana antara RM5 juta ke RM10 juta menerusi penubuhan yayasan yang membantu usahawan wanita membangunkan produk yang boleh dieksport.

Ketua Pegawai Operasinya, Dr Laila Rani Raja Mohamad Abdullah berkata, pihaknya membuat pendaftaran bagi menubuhkan yayasan terbabit yang dijangka selesai Mei ini.

Katanya, sebagai permulaan pihaknya menyasarkan 10 syarikat usahawan wanita tempatan akan dibantu.

"Melalui dana diperoleh itu kita melabur pada produk berpotensi dibangunkan dan membantu usahawan wanita terbabit sehingga tahap mereka mampu mengeksport produk berkenaan.

"Justeru, kami tubuhkan yayasan dengan di bawahnya nanti ada program bagi bantu usahawan wanita bagaimana hendak menolong menyediakan pembiayaan dan mengetengahkan produk mereka," katanya.

Selain itu, Laila berkata, syarikatnya juga bercadang menganjurkan acara Muslim World Biz, World Muslim Women Summit dan Muslim World Rania Award menjelang Oktober 2021.

Beliau berkata, sebagai syarikat yang memfokus kepada penganjuran acara berskala besar dan dunia, pihaknya berharap pandemik Covid-19 tidak menjadi penghalang merealisasikan acara tahunan itu.

"Memandangkan setiap acara terbatas dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kali ini penganjuran persidangan mungkin dalam skala lebih kecil.

"Kami juga menerima banyak jemputan dari Dubai, Qatar, Jordan bagi menganjurkan persidangan wanita di negara mereka.

"Paling penting kita mahu menarik pelaburan dari negara luar seperti Kuwait, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UEA), Bahrain, Qatar serta Brunei yang mana melalui persidangan sebelum ini, kita peroleh pelaburan bernilai RM20 bilion.

"Tahun ini pelaburan berjaya ditarik lebih rendah kerana pandemik yang melanda seluruh dunia sekarang.

"Namun, kebanyakan negara terbabit melabur dalam sektor import dan eksport teknologi termasuk gas dan minyak (O&G)," katanya.

Menurutnya, untuk menganjurkan acara besar itu peruntukan yang dibelanjakan kira-kira RM7 juta.

Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 7:00am
d