bisnes

Teraju industri telekomunikasi

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri dan Mohd Zaky Zainuddin

CELCOM Digi Bhd (Celcom Digi), entiti yang terbentuk menerusi penggabungan operasi telekomunikasi Axiata Group Bhd dan Telenor ASA di Malaysia bakal menjadi penyedia perkhidmatan terbesar Malaysia.

Rundingan yang dimuktamadkan dalam tempoh tujuh hingga sembilan bulan akan datang itu bakal menyaksikan Celcom Digi menerajui industri telekomunikasi tempatan dari segi nilai, pendapatan dan keuntungan.

Jika penggabungan membabitkan Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Digi.com Bhd itu menjadi kenyataan, ia mewujudkan pendapatan pro forma sekitar RM12.4 bilion, sementara pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) prasinergi mencecah RM5.7 bilion.

Penggabungan Celcom-Digi juga membentuk gabungan 19.1 juta pelanggan di seluruh negara, sekali gus menjadikan Celcom Digi sebagai peneraju pasaran.

Mengulas mengenai rundingan yang bakal memasuki pasal ketekunan wajar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, pembentukan Celcom Digi menyaksikan Axiata dan Telenor masing-masing menguasai 33.1 peratus pegangan manakala selebihnya dikuasai pemegang saham institusi dan rakyat Malaysia.

"Sebagai sebahagian daripada urus niaga penggabungan, Axiata menerima saham baharu yang diterbitkan dalam Digi mewakili 33.1 peratus pegangan saham pasca bernilai RM2 bilion, di mana RM1.7 bilion adalah daripada Digi menerusi penerbitan hutang baharu, manakala baki RM300 juta lagi dari Telenor.

"Penggabungan ini buat masa ini membabitkan pasaran Malaysia sahaja dan ia tidak berkait dengan pasaran lain di mana entiti Axiata dan Telenor beroperasi," katanya pada sidang media khas pengumuman terbabit di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Telenor Asia, Jørgen C Arentz Rostrup.

Saham Axiata dan Digi digantung pagi semalam menjelang pengumuman itu.

Cadangan penggabungan yang sebelum ini dikenali sebagai MergeCo menamakan Izzadin dan Rostrup, masing-masing sebagai Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Celcom Digi.

Jawatan CEO Celcom Digi pula digalas Idham Nawawi yang ketika ini adalah CEO Celcom Axiata, manakala Timbalan CEO pula dipikul Albern Murty, yang ketika ini CEO Digi Telecommunications.

Struktur organisasi berkenaan dan struktur lain diumumkan selepas mendapat kelulusan pemegang saham.

Mengulas lanjut, Izzaddin berkata, penggabungan itu mempercepatkan digitalisasi negara dan mewujudkan persekitaran perniagaan mampan dan terbukti pada masa depan.

Katanya, Celcom Digi yang kekal sebagai syarikat senarai awam dijangka dapat meningkatkan kecairan dan profil di Bursa Malaysia sebagai antara syarikat teknologi terbesar dan antara syarikat dengan modal pasaran terbesar dalam pasaran ekuiti.

"Kami yakin penyertaan dalam penggabungan ini dan tanggungjawab kepada dua pemegang saham bagi memastikan penggabungan ini berjalan lancar.

"Penggabungan ini tidak mengurangkan pegangan pasaran, malah meningkatkan penguasaan kami di pasaran domestik," katanya.

Mengenai kapasiti kakitangan pasca penggabungan, beliau menjelaskan, semua 2,400 pekerja Celcom dan 1,400 Digi dikekalkan.

Sementara itu, Rostrup berkata, pegangan sama rata dalam Celcom Digi bukan menjadi halangan memacu syarikat berkenaan untuk meneroka pasaran Malaysia.

"Kami tidak bimbang siapa mengawal Celcom Digi, sebaliknya percaya ia perkara sepatutnya untuk memacu pembangunan syarikat pada masa depan," katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2021 @ 7:00am
d