bisnes

Harvey Norman sasar buka lima cawangan baharu tahun depan 

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Peneraju keperluan isi rumah terkemuka, Harvey Norman menyasarkan pembukaan kira-kira lima lagi cawangan di seluruh negara pada tahun hadapan.

Pengurus Besar Utama Harvey Norman, Eddy Ng bagaimanapun berkata, pembukaan cawangan baharu itu nanti bergantung situasi semasa susulan negara berada dalam pandemik Covid-19.

"Hari ini pembukaan cawangan Harvey Norman ke-26... seterusnya kita sasarkan pada September atau Oktober tahun ini di Pavilion Bukit Jalil.

"Tetapi ia bergantung kepada pembinaan pusat beli-belah itu seterusnya kelewatan lain susulan pandemik Covid-19.

"Tahun hadapan pula, Harvey Norman menyasarkan empat hingga lima cawangan baharu di seluruh negara... ada dalam proses menandatangani surat surat tawaran, penyewaan dan ada juga masih dalam rundingan, bergantung kepada keadaan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan pembukaan cawangan Harvey Norman ke-26 di pusat beli-belah Quayside, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pembukaan cawangan ke-26 itu katanya, Harvey Norman meneruskan rancangan pengembangan secara agresif mereka dengan pembukaan itu, hari ini.

"Sebagai menghargai pelanggan setia dan semua pembeli, Harvey Norman memberikan potongan harga sempena pembukaan eksklusif hari ini.

"Jadi, bermula hari ini sehingga 11 April pembeli boleh datang ke Harvey Norman di Quayside Mall bagi mendapatkan potongan harga pembukaan untuk produk elektrik, IT, perabot dan peralatan tempat tidur serta tawaran setiap jam yang menarik.

"Sejajar dengan polisi Harvey Norman, Shop with Confidence, kami mengalu-alukan pembeli untuk berunding bagi mendapatkan tawaran terbaik," katanya.

Ng berkata, cawangan ke-26 itu juga menawarkan pelbagai produk elektrik dan elektronik menarik kepada pengguna seperti televisyen skrin besar dari jenama terkenal serta model premium yang popular termasuk Samsung, LG, Sharp dan Sony.

"Pembeli juga boleh mencuba pelbagai model vakum seperti vakum robot terkini yang dipamerkan juga peralatan kecil, mesin basuh, peti sejuk dan produk penjagaan diri serta peralatan dapur.

"Begitu juga dengan pelbagai pilihan perabot seperti sofa, kerusi untuk ruang rehat luar rumah dengan pilihan warna yang menarik dan indah," katanya.

Selain itu katanya, selari dengan trend teknologi terkini, Harvey Norman turut menawarkan pelbagai jenis komputer terkini dan komputer riba moden yang sesuai untuk permainan dalam talian, model PlayStation dan sebagainya.

"Begitu juga dengan model telefon pintar dan tablet terkini juga serta jam tangan pintar tersedia dan sesuai untuk pembeli dengan gaya hidup aktif seperti Apple dan Huawei," katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2021 @ 2:14pm
d