bisnes

Adaptasi pendigitalan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Subang Jaya: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) komited membantu antara 80 hingga 100 syarikat memperkembangkan perniagaan mereka menerusi adaptasi pendigitalan dan penyelesaian teknologi Industri 4.0 yang dibangunkan pihaknya tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus berkata, bagi menyokong usaha itu, MTDC turut menjalin kerjasama strategik dengan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang akan membantu usahawan termasuk dalam kalangan asnaf dan golongan B40 yang terpilih di bawah yayasan terbabit.

Katanya, melalui inisiatif ini, YaPEIM dan MTDC dapat meluaskan peluang pemasaran usahawan melalui platform digital.

"Pada fasa pertama, kita akan memberikan latihan dan bimbingan kepada usahawan ini, bimbingan bukan sahaja dari segi perniagaan malah suntikan teknologi.

"Kita akan bantu dari segi kemahiran insaniah, cara menguruskan syarikat, membangunkan model perniagaan, pemilihan dan penggunaan teknologi yang sesuai (bagi perniagaan mereka)," katanya pada Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara YaPEIM dan MTDC di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Pengerusi MTDC, Tan Sri Abd Rahman Mamat dan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan.

Sebagai pelaksanaan rintis, YaPEIM dan MTDC sudah menggerakkan usaha itu membabitkan usahawan terpilih dalam Program Pemecutan Perniagaan (PPM) dengan objektif membantu pembangunan usahawan berpotensi dan berdaya saing ke tahap lebih baik.

Norhalim berkata, PPM turut menumpukan penyediaan bimbingan, bantuan teknikal serta khidmat nasihat kepada usahawan untuk merangka model perniagaan yang efektif dan realistik.

Sementara itu, Parihah berkata, usahawan yang terbabit dalam program ini dapat meningkatkan pendapatan, ilmu dan mengembangkan perniagaan terutama sekali dalam menyerapkan solusi teknologi industri 4.0 dalam perniagaan mereka.

"Program ini berjalan selama tiga bulan dan sejumlah 80 syarikat terpilih dalam program kali ini membabitkan 160 orang peserta yang terdiri daripada individu berperanan penting atau teras utama bagi setiap syarikat berkenaan.

"Kami komited membantu usahawan mengembangkan perniagaan dan memperkenalkan produk mereka ke seluruh Malaysia dan di pasaran luar dengan melalui kerjasama MTDC ini dengan mengguna pakai penyelesaian teknologi yang bersesuaian dengan mereka," katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2021 @ 7:00am
d