bisnes

MKD Signature masih pemegang saham utama Mulia Property

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan bahawa MKD Signature Sdn Bhd (MSSB), syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) masih kekal sebagai pemegang saham utama Mulia Property Development Sdn Bhd (MPDSB) dan tidak wujud sebarang perjanjian jualan saham kepada mana-mana pihak.

Dalam kenyataan hari ini, MoF berkata MPDSB adalah pemilik bangunan Exchange 106 bagi Projek Tun Razak Exchange (TRX).

"Keputusan pembabitan MSSB di dalam pembangunan Exchange 106 pada waktu itu dibuat bagi memelihara kepentingan projek TRX yang terpalit dengan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana kesukaran MPDSB mendapatkan pinjaman untuk membiayai projek berkenaan.

"Penjualan saham MSSB dalam syarikat MPDSB adalah tertakluk kepada Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pemegang Saham yang dimeterai pada 2017 yang mana Mulia International Ltd (MIL) mempunyai hak untuk melaksanakan 'Call Option' (Opsyen Beli) untuk membeli semula 51 peratus saham MSSB pada harga yang telah dipersetujui dan setelah menjelaskan pinjaman yang diberikan oleh MSSB," katanya.

Kenyataan MoF itu sebagai mengulas satu laporan media berhubung dakwaan penjualan saham milik MSSB.

Menurut MoF, MSSB telah mengambil alih 51 peratus saham dalam MPDSB pada 19 Julai 2017 daripada MIL manakala baki 49 peratus dimiliki oleh MIL.

Disiarkan pada: April 11, 2021 @ 9:03pm
d