bisnes

Malaysia boleh capai imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Malaysia akan mencapai sasaran 80 peratus penduduk mendapat vaksinasi Covid-19 sebelum akhir tahun ini, selepas bekalan vaksin lebih stabil dan mencukupi mulai Jun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berdasarkan jadual penghantaran pembekal, Malaysia akan mula mendapat bekalan vaksin lebih stabil dan mencukupi mulai bulan Jun, di mana vaksinasi dijangka mampu dilaksanakan secara besar-besaran.

"InsyaAllah, kita akan mempunyai bekalan yang cukup untuk memastikan kita mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus penduduk Malaysia sebelum akhir tahun ini, selaras dengan rancangan kerajaan yang diumumkan melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

"Apa yang pasti, norma baharu dalam kehidupan dan pekerjaan seharian harus diamalkan dan SOP mengekang jangkitan dipatuhi bagi menjamin segala perancangan untuk pemulihan negara secara menyeluruh yang telah disusun akan menemui kejayaan," katanya dalam Laporan Laksana ke-49 hari ini.

Menurutnya, dengan kenaikan kes Covid-19 harian yang masih tinggi dan rata-rata berada di paras empat angka, kadar pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) masih perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan sasaran mewujudkan imuniti kelompok akan berjaya dicapai menjelang bulan Disember 2021, seperti yang telah dirancang di bawah PICK.

"Sehingga kini, pendaftaran hampir mencecah 36 peratus, masih jauh dari sasaran 80 peratus untuk mencapai imuniti kelompok.

"Kerajaan telah memperuntukkan RM5 bilion (termasuk RM3 bilion di bawah PEMERKASA) untuk memastikan bekalan vaksin dan pusat-pusat vaksinasi yang mencukupi bagi mencapai sasaran ini.

"Malah, kerajaan juga terus meningkatkan sokongan untuk sektor kesihatan awam melalui pengambilan lebih ramai pekerja barisan hadapan, di samping memastikan pembiayaan bagi keperluan-keperluan lain dalam memerangi pandemik ini disalurkan dengan lancar," katanya.

Menteri kewangan berkata, seperti yang diumumkan sebelum ini, program vaksinasi akan dilaksanakan secara berperingkat di mana Fasa Satu yang membabitkan barisan hadapan perubatan dan bukan perubatan sudahpun selesai.

"Fasa Dua akan dimulakan pada minggu hadapan, membabitkan rakyat berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang menghidap penyakit kronik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 14, 2021 @ 6:53pm
    d