bisnes

Darurat untuk mengekang Covid-19, tiada muslihat lain - PM

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Pengisytiharan darurat adalah untuk mengekang penularan Covid-19 dan tidak ada sebarang muslihat lain di sebalik keputusan yang dibuat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu-satunya alasan di sebalik perisytiharan itu adalah untuk mempercepat langkah perundangan yang diperlukan berkaitan pengurusan pandemik Covid-19.

"Ia merangkumi perkara berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pemilikan tanah sementara, bangunan atau harta tanah boleh alih milik hospital swasta, dan untuk membenarkan penggunaan hospital swasta bagi merawat pesakit Covid-19.

"Oleh itu, yakinlah bahawa tidak ada motif lain di sebalik pengisytiharan darurat ini," katanya dalam ucapan sempena perjumpaan dengan pihak industri yang dianjurkan Kementerian Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini.

Hadir sama, Menteri Kanan yang juga Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalannya, Datuk Lim Ban Hong serta presiden persatuan industri dan dewan perniagaan.

Perdana menteri berkata, beliau menegaskan bahawa darurat tidak akan digunakan untuk melanggar hak asasi manusia, harta persendirian dan hak undang-undang lain.

"Malaysia adalah sebuah negara yang percaya kepada peraturan undang-undang dan oleh itu, kita tidak akan menghina prinsip perundangan yang kita hormati.

"Adalah penting untuk komuniti perniagaan, sama ada domestik atau antarabangsa, untuk memahami perkara ini," katanya.

Beliau berkata, usaha memerangi Covid-19 adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, masyarakat awam dan individu mesti bersatu dan bekerjasama untuk menyekat dan memerangi wabak ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 15, 2021 @ 1:40pm
    d