bisnes

SO.LEK teroka pasaran global

SO.LEK Cosmetics memberi tumpuan terhadap kesedaran mengenai Malaysia dan produk tempatan menerusi barisan nama produk di bawah jenama mereka.

Sebahagian produk yang ditawarkan menggunakan nama klasik inspirasi legenda Malaysia, nama bungaan serta alat tradisional seperti sitar, sape dan muzik gamelan.

Pengasas SO.LEK Cosmetics, Dahlia Nadirah Juhari berkata, pihaknya meletakkan keyakinan jenama tempatan juga mempunyai kualiti setanding produk luar negara.

"Saya ingin mencipta kesedaran mengenai tradisi dan adat resam Malaysia di mana ada perkara kian pudar dari bualan masyarakat kita.

"Kami namakan produk kami Lagenda Gang seperti Mahsuri dan Tun Teja. Bagi saya selain hanya menjual kosmetik, kami ingin memfokuskan betapa banyak dan cantiknya sejarah tradisi dan adat resam yang boleh diketengahkan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, setakat ini, mereka mempunyai 11 produk utama serta 78 produk keseluruhan termasuk jenis dan warna berbeza.

Katanya, SO.LEK Cosmetics hanya mengambil masa setahun untuk bertapak dalam industri kosmetik dan turut ditawarkan di rangkaian kedai kecantikan seperti Watsons.

Bukan itu sahaja, mereka turut mendapat tempat di pasaran luar negara seperti Kanada dan United Kingdom selepas berada di pasaran Malaysia selama setahun setengah.

"Kami dalam perbincangan untuk mengembangkan perniagaan ke Timur Tengah dan negara Eropah lain dan menunggu kelulusan dari pihak sana.

"Setakat ini, produk SO.LEK Cosmetics ditawarkan di 40 cawangan Watsons seluruh Malaysia dan dalam perancangan untuk menawarkannya di 60 lagi cawangan.

"Selain Watsons, produk ini juga boleh didapati di AirAsia, PlayUp dan platform e-dagang seperti Grab, Shopee selain laman web SO.LEK," katanya.

Sementara itu, Dahlia Nadirah berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk melancarkan produk baharu bagi edisi raya seperti gincu bersaiz kecil dan warna baharu untuk penggaris bibir.

"Kami juga dalam perancangan untuk membeli beg yang dibuat oleh kaum Penan dan mengadakan promosi untuk hari raya nanti.

"Ini satu tanggungjawab sosial korporat kami di mana kami beli dari mereka dan membina kesedaran mengenai komuniti ini," katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2021 @ 7:15am
d