bisnes

Terbit sukuk wakalah RM1B

Oleh Alzahrin Alias

The Holstein Milk Co Sdn Bhd (THMC), pengeluar produk susu jenama Farm Fresh bercadang menerbitkan bon Islamik bernilai RM1 bilion melalui program Sukuk Wakalah.

THMC adalah peserta utama ternakan tenusu bersepadu dengan operasi bermula daripada penternakan lembu dan pemprosesan susu di Malaysia dan Australia sehingga pengedaran produk tenusu.

Cadangan penerbitan program sukuk itu turut mendapat penarafan AA-IS daripada Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) dengan prospek yang stabil.

"Penarafan kredit korporat itu berdasarkan keupayaan peningkatan penguasaan pasaran THMC dalam industri tenusu dan peningkatan keuntungannya dicirikan oleh margin keuntungan operasi mantap serta kedudukan kumpulan sederhana.

"Kekuatan ini turut diimbangi risiko berkaitan dengan fasa pengembangan perniagaan yang pantas dan aset biologi kumpulan," kata MARC dalam satu nota.

THMC ketika ini adalah syarikat di bawah dana komersial Khazanah Nasional Bhd.

THMC mempunyai ladang dengan keluasan sekitar 1,510 ekar di Malaysia dan 2,555 ekar di Victoria, Australia.

Kumpulan itu sehingga Disember tahun lalu direkodkan mempunyai 5,887 ekor lembu di empat ladangnya di Malaysia dan 2,618 lagi di Victoria.

MARC berkata, penambahan 500 ekar tanah baharu ke ladang sedia ada di Muadzam Shah selain penyiapan ladang serta kemudahan pemprosesan seluas 828 ekar di Taiping turut akan mengukuhkan lagi kedudukan pasaran THMC.

Ia berkata, penguasaan pasaran domestik THMC melalui jenama Farm Fresh ketika ini adalah 15.6 peratus dan pengeluar tenusu kedua terbesar pada Januari lalu.

Katanya, bagi segmen susu segar pula, THMC mempunyai bahagian pasaran 36 peratus dan antara pengeluar yang pantas berkembang.

"THMC menggunakan pelbagai rangkaian pengedaran yang inovatif terutama rangkaian perniagaan rumahnya untuk mempercepat penembusan pasaran.

"Jaringan berkenaan yang menghasilkan sekitar 35 peratus daripada jumlah pendapatan pada akhir tahun lalu, mengurangkan kos iklan dan pemasaran THMC sambil menyediakan platform bagi pengusaha mikro untuk memasarkan produk tenusu," katanya.

MARC berkata, dari segi prestasi kewangan pula, pendapatan syarikat itu meningkat mendadak kepada RM303.1 juta pada tahun kewangan 2020 berbanding RM54.9 juta pada 2016.

Peningkatan itu, katanya, terutama didorong penjualan susu segar dan susu UHT yang masing-masing menyumbang 56 peratus dan 28 peratus daripada pendapatannya tahun lalu.

THMC juga mempunyai rekod prestasi baik dalam menguruskan logistik pengangkutan dan penghantaran, di mana susu mentah dihasilkan dari ladang di Muadzam Shah diproses secara langsung di lokasi, manakala susu mentah dari ladang lain dihantar oleh trak tangki sejuk ke kilang di Larkin untuk diproses.

THMC kini mempunyai 17 barisan pengeluaran untuk pemprosesan hiliran, menghasilkan susu segar sejuk, susu segar UHT, yogurt dan produk berasaskan tenusu.

Disiarkan pada: April 17, 2021 @ 7:01am
d