bisnes

Pendapatan Media Prima diunjur naik pada 2021, 2022

Oleh Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Prestasi kewangan Media Prima Bhd (Media Prima) dijangka bertambah baik pada 2021 berdasarkan kepada beberapa strategi kumpulan untuk memastikan ia terus kukuh menjadi peneraju utama media di Malaysia.

Penganalisis Kenanga Research, Pritika Modhgil berkata, pendapatan Media Prima diunjurkan meningkat sebanyak sembilan peratus dan 10 peratus masing-masing bagi tahun kewangan 2021 dan 2022.

Beliau berkata, unjuran itu adalah berdasarkan kepada jangkaan penjualan iklan yang lebih tinggi, pengedaran kandungan yang lebih baik serta prestasi kukuh dan stabil segmen beli-belah di rumah, WOWSHOP.

Katanya, antara strategi utama yang dilaksanakan Media Prima adalah kerjasama perkongsian kandungan dengan WeTV dan iQiYi yang dianggap bertepatan dengan strategi pengembangan digitalnya.

Beliau berkata, perkongsian berkenaan akan memberi impak positif dan mempengaruhi penjualan iklan digital serta pengedaran kandungan.

Media Prima bekerjasama dengan penyedia Over The Top (OTT) terkemuka, WeTV pada 26 November 2020 dan iQiYi pada 23 Mac lalu bagi menawarkan kandungan tempatan kepada penonton di seluruh Asia.

Pritika berkata, kedua-dua perkongsian itu memerlukan kumpulan melesenkan programnya bagi OTT dan membolehkan perkongsian kandungan terbabit ke platform kandungan masing-masing.

"Ia juga membenarkan Media Prima menjual slot iklan digital dalam hanya ruang kandungan berlesen mereka. Dengan itu, ia akan membuka jalan lain bagi kumpulan menjual slot iklan kerana lebih banyak rancangan dilesenkan untuk OTT.

"Media Prima dijangka akan menyiarkan kandungan mereka ke WeTV dan iQiYi sekitar 1,000 jam yang akan dilesenkan pada akhir 2021.

"Lantaran itu, kami percaya pertumbuhan pengedaran kandungan mungkin memberi kelebihan dalam segmen penciptaan kandungannya yang rugi sebelum ini," katanya dalam satu nota penyelidikannya.

Pritika berkata, selain itu penjenamaan semula stesen TV di bawah Media Prima iaitu ntv7 kepada Didik TV bakal mendorong peningkatan trafik penonton yang lebih tinggi serta prestasi stabil segmen beli-belah di rumahnya.

Beliau berkata, dengan jumlah penonton yang lebih tinggi, saluran berkenaan akan dapat memperoleh lebih banyak penjualan iklan, sekali gus meningkatkan pendapatan kepada kumpulan.

Di samping itu, katanya, pendapatan yang diperoleh melalui bayaran pengeluaran yang dikenakan kepada Kementerian Pendidikan akan diletakkan di bawah cabang perniagaan pengiklanan Media Prima iaitu Omnia.

"Kerjasama Didik TV yang dimulakan pada Februari 2021 yang lalu akan meningkatkan pendapatan Omnia bermula suku pertama tahun ini," katanya.

Perbelanjaan pengiklanan (adex) Media Prima juga akan pulih kerana siaran percuma (FTA) menjadi satu-satunya platform tradisional yang meningkat 1.35 peratus tahun ke tahun berbanding adex platform tradisional lain seperti akhbar (-42 peratus) dan radio (-26 peratus).

Media Prima menguasai 77 peratus pasaran adex FTA dan Kenanga Research yakin ia akan mendapat manfaat yang paling besar daripada pemulihan adex pada masa hadapan.

Disiarkan pada: April 19, 2021 @ 7:01am
d