bisnes

Know It All Box fokus kepada 3E

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: CIC Enrichment Centre komited membantu menambah baik sistem pembelajaran awal kanak-kanak menjadi lebih holistik menerusi pengenalan kit pembelajaran, Know It All Box.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Qutren Nadas Ahmad berkata, Know It All Box adalah kit pembelajaran selama 12 bulan mengandungi pelbagai aktiviti dan mempunyai tema begitu menarik untuk kanak-kanak.

Katanya, Know It All Box adalah pelaburan wang yang sangat berbaloi berbanding ibu bapa membeli barangan permainan yang tiada rancangan pembelajaran.

"Jika kita ingin menjadi sebuah negara maju yang kompetitif di peringkat antarabangsa, modal insan yang kita lahirkan mesti mampu bersaing di peringkat global.

"Oleh itu, kualiti pendidikan kita juga mesti dinilai berdasarkan penanda aras antarabangsa.

"Jika kita lihat sistem pendidikan di negara maju seperti di Finland contohnya, bagaimana semua pihak bekerjasama secara menyeluruh menghasilkan sistem pendidikan yang efisien dan holistik bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak hinggalah ke peringkat lepasan universiti.

"Saya yakin usaha transformasi pendidikan pasti menjadi lebih efisien jika semua lapisan ibu bapa membabitkan diri dalam pembelajaran anak-anak serta meluangkan masa dengan melakukan aktiviti ilmiah dan melengkapi rumah dengan pelbagai sumber pembelajaran," katanya.

Menurutnya, Know It All Box sesuai untuk ibu bapa yang mahu memastikan anak-anak mereka menguasai pelbagai kemahiran serta guru atau pengasuh yang memerlukan silibus pembelajaran sistematik untuk kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Beliau berkata, kit pembelajaran ini juga memfokus kepada 3E iaitu experience, experiment dan exploration yang membantu kanak-kanak merasai sendiri pengalaman yang terkandung dalam kit berkenaan.

"Know It All Box juga mempunyai sequence' dan dirancang secara sistematik agar dapat merangsang perkembangan kanak-kanak yang membantu mereka berjaya kelak.

"Kami turut membuka peluang kepada mereka yang berminat menjana pendapatan dengan menjadi ejen dan untuk maklumat lanjut boleh layari Facebook: Green Bag by CIC atau www.greenbag.my," katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2021 @ 7:02am
d