bisnes

Hab transformasi perniagaan 'masa hadapan'

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Chin Hin Property Bhd bekerjasama dengan 10XCEOs Sdn Bhd dalam membangunkan hab transformasi perniagaan dan kehidupan, yang dipanggil 10X Valley melalui pelaburan bernilai RM5 juta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Chiau Haw Choon, hab itu yang dijadualkan siap menjelang suku ketiga 2023 membabitkan 660 unit termasuk ruang pejabat, kedai runcit, lot dupleks serta pangsapuri berservis.

"Pada dasarnya Chin Hin Property akan melabur dalam kemudahan itu, yang akhirnya akan diuruskan oleh 10XCEOs," katanya semasa majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi 10X Ceos Andrea Low, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 10X Valley Steve Chow, Timbalan CEO 10X CEOs Paul Wong, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 10XCEOs Joescher Chee serta CBO 10X CEOs Jerome Thia.

10XCEOs adalah platform kejurulatihan perniagaan global untuk merangsang serta memperkasakan perniagaan ke arah transformasi dan perkembangan.

Chiau berkata, hab berkeluasan 80,000 kaki persegi itu akan menjadi platform untuk kedua-dua pihak membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi IPO dan francais sedia.

Beliau berkata, 10X Valley mengandungi 10 elemen, antaranya adalah hab penyumberan luar global, dewan persidangan 500 tempat duduk termasuk ruang mesyuarat, pejabat, ruang niaga dan pejabat rumah dupleks.

Sementara itu, Chee menjelaskan hab itu akan menjadi pusat sehenti untuk penyelesaian PKS dengan membolehkan semua ahli berkongsi sumber dan mendapat akses dalam rangkaian perniagaan.

Katanya, sekurang-kurangnya 10 syarikat akan menjadi IPO sedia apabila 10X Valley memulakan operasi menjelang 2023, sambil menambah, mereka juga menyasarkan penyertaan 1,000 PKS di 10X Valley.

"Kami akan mempunyai 1,000 ahli dan sebenarnya mereka bukan datang ke sini untuk menggunakan pejabat yang disediakan, sebab itu ahli kami mesti memiliki hasil tahunan sebanyak RM1 juta hingga RM50 juta.

"Mereka juga bukan syarikat pemula niaga, untuk syarikat seperti ini, mereka akan mempunyai jawatankuasa pemula niaga yang akan menguruskan mereka tetapi apa yang kami mahukan untuk syarikat berhasil RM1 juta ini, yang tidak semestinya syarikat yang besar tetapi sekurang-kurangnya produk dan perkhidmatan mereka diterima di pasaran," katanya.

Chee percaya 52 bengkel dan latihan yang disediakan dalam setahun akan meningkatkan kadar kejayaan usahawan selain mempercepatkan pertumbuhan mereka.

Usahawan elit terpilih dalam kalangan ahli 10X Valley akan mendapat akses eksklusif kepada rakan pembiayaan 10X Valley, yang terdiri daripada pembiaya awal, pelabur budiman, pemodal teroka, firma ekuiti swasta, pembiayaan pra-IPO sehingga kepada bank pelaburan, katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2021 @ 2:46pm
d