bisnes

RIDP tingkatkan 45 peratus kandungan tempatan dalam industri rel

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Program Peningkatan Industri Strategik dan PKS Berprestasi Tinggi (Prestige) dalam Industri Rel (RIDP) dijangka dapat meningkatkan peratusan kandungan tempatan sekurang-kurangnya 45 peratus dalam beberapa komponen industri rel yang telah dikenal pasti menjelang 2030.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, menerusi program ini pemain industri tempatan akan dikenal pasti mengikut kluster kepakaran masing-masing dan diberi peluang pemindahan teknologi bersama Pengeluar Peralatan Tulen (OEM).

Selain itu, katanya, program itu juga dapat meningkatkan keupayaan dan kebolehpasaran industri.

"Mereka juga akan dipadankan dengan syarikat utama bagi memastikan syarikat-syarikat tempatan mempunyai peluang untuk meningkatkan kapasiti dan terus berdaya saing," katanya pada majlis pelancaran program RIDP, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wee berkata, setakat ini hanya terdapat 20 peratus kandungan tempatan bagi komponen industri rel dan dengan adanya ekosistem dan pencaturan yang lebih teratur, beliau yakin sasaran 45 peratus itu akan dapat dicapai dan seterusnya dapat menembusi pasaran ASEAN.

Sebanyak lapan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dipilih menyertai program RIDP anjuran MEDAC itu melalui SME Corp Malaysia dan Kementerian Pengangkutan menerusi National Rail Centre of Excellence dan Technology Depository Agency Bhd.

Menurutnya, syarikat yang terpilih itu terlibat dalam pembuatan komponen dalaman gerabak keretapi; panel gentian kaca, pintu dan gangway (laluan); serta perkhidmatan penyelenggaraan gerabak keretapi, sistem rel dan sistem brek.

Beliau berharap pemain industri tempatan akan menyokong program penyelenggaraan dan membaik pulih aset rel serta menambah jangka hayat dan kebolehoperasian aset kereta api.

Mengenai pembangunan projek rel negara, Wee berkata, ia dijangka membangun lebih pesat dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan tujuh projek pembinaan yang telah diluluskan oleh kerajaan melibatkan penambahan lebih kurang 1,030 kilometer trek rel.

"Keperluan 'rolling stock' (gerabak) untuk penumpang dan kargo akan turut bertambah seiring dengan peningkatan permintaan bagi mod pengangkutan berasaskan rel," katanya.

Selain itu, katanya, industri rel juga bakal menjadi penyumbang penting kepada ekonomi, dapat memenuhi permintaan tempatan dan serantau serta melahirkan pekerja mahir yang berkualiti tinggi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata industri rel telah menyumbang sebanyak RM43.05 bilion kepada negara setakat ini dan dijangka memerlukan seramai 50,000 pekerja mahir menjelang 2030.

Menurutnya, program RIDP mengenal pasti dan meningkatkan keupayaan PKS berpertumbuhan tinggi dalam sektor rel selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 dan Dasar Keusahawan Nasional 2030.

Wan Junaidi berkata, program RIDP menyasarkan tiga objektif strategik iaitu menambah bilangan syarikat pertumbuhan tinggi dan inovatif dalam industri rel; meningkatkan produktiviti dan kualiti PKS dalam industri tersebut; serta memperluas penglibatan PKS tempatan dalam rantaian bekalan rel domestik dan antarabangsa.

PKS terpilih bagi program ini akan melalui aktiviti pembangunan kapasiti serta layak mendapat bantuan kewangan sehingga RM500,000.

"Bantuan tersebut diberi dalam bentuk geran padanan bagi aktiviti transformasi yang merangkumi standard dan pensijilan, adaptasi teknologi baru dan strategi pemasaran menembusi rantaian bekalan global," katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2021 @ 9:17pm
d