bisnes

Kerajaan puas hati usaha TNB kukuh bekalan elektrik

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli berpuas hati dengan usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengukuhkan perbekalan elektrik negara dalam usaha berterusan meningkatkan perkhidmatan dan memperkasa pengguna.

Selain itu, kementerian turut memuji pencapaian TNB meningkatkan kualiti bekalan elektrik, antaranya dengan Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) di Semenanjung Malaysia menurun secara konsisten di bawah paras 60 minit sejak 2014 sehingga mencapai 44.95 minit pada tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, walaupun SAIDI yang juga ukuran tempoh gangguan bekalan elektrik ini antara terendah di negara Asia Tenggara dan sebilangan negara membangun, beliau mahu TNB meneruskan usaha menurunkan lagi angka berkenaan.

"Tentunya kita nak lebih rendah daripada itu," katanya pada sesi lawatan kerja ke TNB di Kompleks Ibu Pejabat TNB di sini.

Menurutnya, menjadi hasrat kerajaan untuk rakyat terus mendapat bekalan elektrik dengan harga berpatutan dan pada masa sama TNB dapat terus berdaya maju bagi meneruskan pelaburan modal dan mendapat pulangan setimpal yang boleh dikongsi dengan rakyat serta pemegang sahamnya.

"Pengalaman dari pandemik Covid-19 jelas menunjukkan tindakan bersama kerajaan dan TNB membolehkan 'kita berkongsi kesusahan rakyat' dengan TNB sendiri membuat pelbagai sumbangan dengan nilai yang besar," katanya.

Sepanjang tiga jam sesi lawatan, Shamsul Anuar diberikan taklimat mengenai pemodenan sistem Rangkaian Pembahagian TNB yang mengambil kira keperluan rakyat, rancangan pelaburan modal TNB untuk tempoh 2022 hingga 2024.

Disiarkan pada: April 22, 2021 @ 7:10am
d