bisnes

PDB peruntuk Capex RM500 juta

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Bhd (PDB), memperuntukkan kira-kira RM500 juta perbelanjaan modalnya (capex) untuk tahun kewangan 2021 yang berakhir 31 Disember 2021.

Ketua Perniagaan Runcitnya, Khalil Muri berkata, jumlah capex itu lebih kurang sama dengan jumlah yang diperuntukkan bagi tahun kewangan sebelum ini.

Katanya, keseluruhan capex itu akan dibelanjakan bagi perancangan membuka stesen minyak baharu dan mengukuhkan segmen perniagaan bukan bahan api PDB sepanjang tahun ini.

"Biarpun masih berdepan dengan cabaran Covid-19, kami yakin dengan prospek segmen runcit PDB akan kekal positif terutama disokong oleh peningkatan harga minyak mentah, jumlah trafik yang kembali normal dan permintaan tinggi terhadap perniagaan bukan bahan api.

"Kami optimis tahun ini semua segmen perniagaan PDB akan kembali memberangsangkan, namun kami akan memberi tumpuan segmen bukan bahan api dengan mengembangkan rangkaian Kedai Mesra dan perkhidmatan penyelesaian makanan kerana ia semakin mendapat permintaan," katanya pada sidang media secara maya, di sini.

Khalil berkata, setakat ini terdapat lebih 1,000 stesen minyak Petronas dan 800 Kedai Mesra di seluruh negara dan PDB bercadang untuk membuka antara lima ke 10 stesen setiap tahun.

Beliau berkata, PDB turut menyaksikan peningkatan perniagaan bukan bahan apinya berikutan permintaan tinggi apabila orang ramai sudah mula kembali bekerja di pejabat.

Menurutnya, tahun ini pihaknya juga menyasarkan untuk mengembangkan perniagaan bukan bahan api antara 15 hingga 20 peratus.

"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan segmen runcit menyumbang kira-kira 40 peratus kepada keseluruhan hasil kumpulan bagi tahun kewangan 2021.

"Jumlah itu rendah sedikit berbanding 47 peratus bagi 2019, kerana industri penerbangan masih belum pulih daripada impak pandemik ini," katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2021 @ 7:01am
d