bisnes

Pertama Digital mahu lesen bank digital

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pertama Digital Bhd menyatakan minat memohon lesen bank digital dan ketika ini dalam perbincangan usaha sama awal untuk mendapatkan lesen itu daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengarah Strateginya, Saify Akhtar berkata, langkah berkenaan adalah seiring dengan penekanan kepada rangkuman kewangan dalam rangka kerja pelesenan bank digital yang diterbitkan bank pusat pada Disember tahun lalu.

"Kami bekerja keras untuk menyelaras modal, tenaga kerja, teknologi dan pasaran kaptif serta berbangga untuk mengumumkan kami mempunyai model perbankan mampan yang unik dan melebihi syarat ditetapkan dalam rangka kerja berkenaan.

"Kami berhasrat untuk menyampaikan produk kewangan beretika kepada rakyat Malaysia terpinggir dan menyumbang kepada pemulihan pasca-pandemik kami sebagai sebuah negara," katanya dalam kenyataan.

Tarikh akhir untuk menghantar permohonan bagi lesen perbankan digital pada 30 Jun depan.

Pertama Digital adalah syarikat pemegangan DAPAT Vista (M) Sdn Bhd, syarikat Malaysia yang mengkhusus kepada pendigitalan perkhidmatan kerajaan.

Ia menyediakan penyelesaian di aplikasi web dan mudah alih, pembayaran dan pemesejan mudah alih; Aplikasi Pemprograman Antara Muka (API) pemerkasaan perniagaan dan perkhidmatan digital khusus lain.

Saify berkata, kedudukan baik syarikat itu memberi kelebihan kerana ia mempunyai banyak maklumat dan pengajaran yang menghasilkan sistem berjaya dan boleh ulang, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia terpinggir mendapat perkhidmatan digital dan kewangan untuk membuat urus niaga dalam talian.

"Pasukan kami berpuas hati apabila melihat penyelesaian kami digunakan, misalnya oleh mereka yang tidak pernah membuat pindahan bank secara dalam talian," katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2021 @ 7:30am
d