bisnes

Petronas ungguli senarai tempat kerja terbaik LinkedIn

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berada di kedudukan pertama dalam senarai tempat kerja terbaik dalam senarai Syarikat Utama LinkedIn di Malaysia 2021.

Senarai itu menamakan 15 tempat kerja terbaik untuk membangunkan profesional dan mencapai kemajuan kerjaya.

Dalam kenyataan hari ini, LinkedIn menjelaskan syarikat yang menguasai senarai Malaysia tahun ini termasuk Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tenaga Nasional Bhd (TNB), AIA Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Accenture Solutions Sdn Bhd, Maybank, OCBC Bank, PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Axiata Group Bhd.

Editor Berita Kanan Asia-Pasifik, Chris Anderson berkata, LinkedIn mendapati syarikat-syarikat terbaik ini telah mengutamakan pekerja mereka dengan melaksanakan pelbagai dasar berkaitan kesejahteraan dan kesihatan mental di samping membantu mereka menerusi program latihan dan pembangunan.

"Tahun lepas memberi cabaran luar biasa bagi ramai orang di seluruh dunia dan metodologi syarikat-syarikat utama kami membuktikan realiti ini.

"Ini mendorong kami mengetengahkan syarikat-syarikat yang melabur dalam pembangunan pekerja memandangkan kita mengharungi dunia kerjaya yang berubah selamanya ekoran pandemik," katanya.

LinkedIn adalah rangkaian profesional terbesar dunia yang menghubungkan 740 juta ahli dan pejabat di seluruh dunia.

Disiarkan pada: April 28, 2021 @ 6:50pm
d