bisnes

MDEC lantik Ketua Pegawai Transformasi baharu

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengumumkan pelantikan Mohd Afdhal Mohd Nayan sebagai Ketua Pegawai Transformasi yang baharu.

Beliau akan terbabit dalam usaha untuk memacu misi dan mencipta semula agensi serta mempercepatkan keupayaan untuk merealisasikan aspirasi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

Susulan perlantikan ini, Mohd Afdhal, 33, akan melapor kepada Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri dan bekerjasama rapat dengan Majlis Operasi (MOC) MDEC, barisan kepimpinan kanan dan Lembaga Pengarah untuk menentukan inisiatif, pengembangan dan pelaksanaan transformasi korporat organisasi untuk melaksanakan misi bagi memacu inovasi serta masyarakat inklusif yang terintegrasi dengan teknologi sejajar Malaysia 5.0.

Mohd Afdhal adalah seorang pakar transformasi yang terbukti dan mempunyai rekod prestasi di Kumpulan AirAsia Bhd.

Beliau dilihat sebagai pemimpin yang sangat sesuai dengan misi mencipta semula yang sedang dilaksanakan oleh MDEC.

Pengerusi MDEC Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, pihaknya yakin Mohd Afdhal akan mempercepat inisiatif perubahan untuk menjadikan MDEC agensi yang cekap dan mampu beroperasi pada tahap integriti tertinggi dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital Asean.

Mohd Afdhal yang mempunyai Ijazah Sarjana (Pentadbiran Perniagaan) dari Asia School of Business sebelum ini adalah Ketua Pelaksanaan Transformasi di syarikat penerbangan tambah murah berkenaan sejak 2018.

Beliau berpengalaman dalam mengawal selia sejumlah 88 projek transformasi yang memberi kesan positif kepada syarikat apabila berjaya mencatatkan penjimatan ketara bagi kos operasi.

Mohd Afdhal juga bertanggungjawab merancang program peningkatan berterusan dengan menggabungkan sumber sedia ada bagi mengurangkan pembaziran dan meningkatkan keuntungan organisasi.

Program itu juga berjaya mengubah hampir 900 pekerja untuk menjadi agen transformasi utama dalam syarikat terbabit.

Disiarkan pada: May 3, 2021 @ 6:45pm
d