bisnes

Rezeki pandemik

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Kesan pandemik Covid-19 tidak seteruk yang dijangka, malah ada isi rumah mencatatkan pendapatan lebih tinggi berbanding sebelum pandemik.

Berdasarkan data terbaharu daripada survei dijalankan Juwai IQI, ia mendapati responden mendedahkan kesan pandemik Covid-19 tidak terlalu teruk seperti dijangka.

Data itu menyemak impak pandemik terhadap pendapatan isi rumah, pekerjaan, perniagaan serta laluan semula ke arah kehidupan normal dengan setiap faktor adalah dari perspektif jantina, negeri dan kumpulan umur berbeza.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Juwai IQI Group, Kashif Ansari berkata, rakyat Malaysia melakukan dengan agak baik berbanding negara lain, malah sebahagian besar menyaksikan hasil yang lebih baik berbanding jangkaan.

"Dalam tempoh setahun pandemik melanda, 28 peratus responden melaporkan pendapatan isi rumah mereka lebih tinggi berbanding 12 bulan lalu berbanding 40 peratus yang melaporkan pendapatan lebih rendah.

"Malah, sebahagian kecil responden iaitu 10 peratus melaporkan pendapatan mereka kini 'jauh lebih tinggi' berbanding setahun sebelumnya.

"Dalam tempoh itu, 29 peratus lelaki dan 26 peratus wanita melaporkan pendapatan isi rumah mereka meningkat 'banyak' atau 'sedikit'.

"Negeri terbaik dari segi pendapatan adalah Pulau Pinang dan Sabah dengan 29 peratus responden di kedua-dua negeri melaporkan pendapatan isi rumah lebih tinggi hari ini," katanya.

Kashif berkata, golongan milenial atau dikenali sebagai Gen Y didapati kumpulan umur terbaik menangani pandemik Covid-19 apabila melaporkan kadar peningkatan pendapatan lebih tinggi berbanding kumpulan umur lain.

"Sebanyak 31 peratus golongan milenial meraih pendapatan isi rumah lebih tinggi berbanding setahun lalu.

"Ini diikuti oleh Gen Z dengan 29 peratus melaporkan pendapatan isi rumah lebih tinggi disusuli Gen X dengan 28 peratus.

"Golongan boomers dan individu lebih berusia mencatatkan kadar peningkatan pendapatan isi rumah lebih rendah, apabila hanya 17 peratus melaporkan kenaikan sejak setahun lalu," katanya.

Gen Z berusia antara sembilan hingga 24 tahun, milenial (24 hingga 39 tahun), Gen X (41 hingga 56 tahun) manakala boomers (57 hingga 74 tahun).

Sementara itu, Kashif berkata, 70 peratus rakyat Malaysia melaporkan mereka tidak kehilangan kerja atau terpaksa menutup perniagaan walaupun pandemik memberikan cabaran besar.

"Wanita dan lelaki mempunyai kadar hampir sama pengekalan pekerjaan yang berterusan.

"Sebanyak 69 peratus wanita melaporkan tidak kehilangan kerja atau terpaksa menutup perniagaan sejak setahun lalu. Lelaki lebih tinggi sedikit dengan 71 peratus melaporkan perkara yang sama," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya sebahagian responden menjangka keadaan kembali normal seperti sebelum pandemik menjelang Disember tahun ini.

"Sebanyak 28 peratus responden optimis kehidupan kembali normal pada hujung tahun ini namun, 18 peratus menjangka keadaan hanya kembali normal pada Julai tahun depan.

"Sebanyak 17 peratus pula percaya keadaan hanya akan pulih pada 2023," katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 9:06am
d