bisnes

Digi lanjut tawaran Internet Produktiviti 30GB percuma

Kuala Lumpur: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) akan melanjutkan tawaran Internet Produktiviti 30GB percuma setiap bulan kepada kelompok B40 sehingga 31 Julai nanti bagi menyokong usaha e-pembelajaran dan keperluan bekerja dari jarak jauh.

Semua pengguna aktif pascabayar dan prabayar Digi dapat menikmati Internet Produktiviti yang juga tambahan kepada pelan asal mereka. Bagaimanapun, bagi mengakses media sosial, permainan video, penstriman muzik atau video akan menggunakan data daripada pelan sedia ada.

Digi juga akan terus menawarkan akses percuma dan tanpa had untuk aplikasi maklumat, laman web atau perkhidmatan berkaitan status terkini Covid-19.

Ia termasuk penggunaan aplikasi MySejahtera dan MyTrace, laman web dan nombor panggilan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Selain itu, Digi juga akan menawarkan kredit Internet bernilai RM5 bagi pengguna prabayar dan rebat RM5 bagi pengguna pascabayar untuk penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Mereka yang layak perlu menghantar BPR ke nombor 28282 untuk mendaftar dan mereka akan menerima makluman SMS sekiranya berjaya.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 9:11am
d