bisnes

Kitar semula minyak masak

Oleh Hajar Umira Md Zaki

TreeCycle Biodiesel berjaya mengumpulkan hampir 15,000 kilogram minyak masak terpakai yang hampir dibuang dalam masa sebulan untuk dikitar semula.

Penyelianya, Mohamad Asyraf Mahamod berkata, kebiasaannya mereka membeli minyak masak dari premis perniagaan dan rumah dengan harga RM1.50 sekilogram, bersama servis mengambil dari rumah.

Menerusi perniagaan dijalankan, syarikatnya berjaya mencapai purata keuntungan antara RM7,000 dan RM10,000 sebulan.

"Dalam membeli minyak masak terpakai, kami menitik beratkan kualiti minyak masak yang kurang berkeladak dan tidak bercampur air.

"Minyak terpakai yang dikumpulkan akan dijual semula kepada pengilang kerana proses akan dilakukan di luar negara untuk diproses menjadi produk lain iaitu biodiesel," katanya kepada Bisnes Metro.

Katanya, pihaknya aktif mengumpul minyak masak terpakai di seluruh negeri Selangor, terutama di daerah Kajang, Bangi, Jenjarom dan Shah Alam.

"Buat masa sekarang, syarikat kami mempunyai tiga pekerja dan 10 ejen. Kami sedang giat mencari ejen pengumpul yang berhasrat menambah pendapatan sampingan dalam penjualan minyak masak terpakai.

"Setiap sekilogram minyak masak terpakai yang dikumpul, mereka akan mendapat bayaran antara 50 sen dan RM1," katanya.

Menurutnya, cabaran utama dalam bidang ini adalah sukar untuk memperolehi minyak masak daripada gerai dan individu kerana mereka memilih untuk membuang minyak masak yang sudah dipakai berbanding simpan untuk kitar semula.

"Selain mengumpul minyak terpakai ini, kami juga menjalankan tanggungjawab memupuk kesedaran untuk menyelamatkan alam sekitar kepada pelajar sekolah dan komuniti setempat.

"Kami mengadakan hari kitar semula setiap minggu serta mengajar pelajar supaya membuang di tempat yang sepatutnya.

"Alhamdulillah, menerusi inisiatif yang dijalankan, sekolah dapat menjana pendapatan sampingan dan ramai pelajar mula mengetahui cara betul untuk mengitar semula," katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2021 @ 7:10am
d