bisnes

Kelab Nuri Bank Rakyat tampil ciri baharu

Kuala Lumpur: Kelab Nuri Bank Rakyat kini menampilkan ciri terbaharu dengan pelbagai kemudahan serta keistimewaan bagi membolehkan ahlinya menikmati pakej dan tawaran eksklusif.

Antara ciri terbaharu yang diperkenalkan termasuk pengurangan yuran keahlian sebanyak RM25 berbanding RM50 sebelum ini dan juga tiada yuran pembaharuan bagi tahun berikutnya.

Dengan yuran serendah RM25 sahaja, ahli Kelab Nuri layak untuk mendapatkan pelbagai manfaat keahlian serta peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik.

Selain itu, pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan ahli Kelab Nuri berpeluang mendapatkan insentif pendidikan membabitkan sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM160,000 di bawah program 'Nuri High Achiever'.

Di samping itu, ahli kelab turut layak untuk mendapatkan perlindungan takaful sehingga RM2,000.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, Kelab Nuri yang ditubuhkan pada 2007 adalah salah satu inisiatif Bank Rakyat untuk mendidik generasi menabung dengan menggalakkan dan memupuk amalan menabung dalam kalangan anak muda termasuk kanak-kanak dan remaja berumur 18 tahun dan ke bawah.

Katanya, kelab ini juga menjadi saluran untuk ibu bapa membuat tabungan secara berterusan menerusi Akaun Simpanan-i Nuri untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah demi masa depan yang lebih terjamin lebih-lebih lagi dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

Selain itu, ahli Kelab Nuri boleh menikmati diskaun eksklusif daripada 16 rakan dagang sedia ada kelab berkenaan antaranya Petrosains, Aquaria, Melaka Wonderland, Taman Mini Malaysia dan Kedai Canggih.

Menerusi kemudahan ini, ahli kelab dapat menikmati potongan harga bagi setiap bayaran tiket masuk dan harga istimewa untuk barangan terpilih.

Menjelang Jun tahun ini, Kelab Nuri menyasarkan untuk bekerjasama dengan 50 rakan dagang aktif bagi menawarkan lebih manfaat kepada ahli kelab.

Disiarkan pada: May 9, 2021 @ 3:28pm
d