bisnes

BSN terus hargai golongan pendidik

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus menghargai golongan pendidik negara melalui penyampaian Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021.

BSN selaku penaja utama bagi hadiah Hari Guru 2021 menaja RM230,000 jumlah keseluruhan hadiah (RM150,000 bagi peringkat kebangsaan dan RM80,000 bagi peringkat negeri).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan hadiah berupa BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) masing-masing bernilai RM50,000 kepada dua Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan seorang Tokoh Guru Kebangsaan.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, penyampaian kedua-dua anugerah itu adalah tanda sokongan BSN yang tidak berbelah bahagi kepada pendidik serta institusi pendidikan negara dalam membentuk pembangunan generasi muda yang berkemahiran dan berbudaya tinggi.

"Sesungguhnya tanggungjawab ini bukan mudah dan pendidik sewajarnya dihargai dan diraikan. Syabas diucapkan kepada semua pemenang," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sokongan BSN dalam bidang pendidikan turut merangkumi pembabitan BSN secara aktif dalam aktiviti celik kewangan bersama pelajar sekolah menerusi program Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) serta banyak lagi.

"Melalui program ini, pelajar serta pihak sekolah berpeluang membawa pulang anugerah SGSP bernilai lebih RM290,000 untuk 206 pemenang.

"Selain itu, BSN turut melaksanakan 'Kempen BSN Smart Spend' untuk program 'cashless school' yang telah berlangsung bermula dari 15 September 2020 sehingga 31 Mei 2021. Nilai hadiah bagi kempen ini adalah RM125,000 untuk sekolah dan individu," katanya.

Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021, Datuk Dr Amin Senin dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2021.

Individu kedua yang menerima anugerah sama adalah Datuk Dr Habibah Abdul Rahim manakala Tokoh Guru Kebangsaan 2021 pula telah dinobatkan kepada Noorizan Mohamed.

Disiarkan pada: May 19, 2021 @ 7:02am
d