bisnes

Syor institusi kewangan kekal beri moratorium

INSTITUSI kewangan disaran terus memberi kemudahan moratorium bersasar kepada golongan individu dan peniaga yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, golongan terbabit boleh dikenal pasti melalui kemampuan mereka membayar bayaran pinjaman bulanan.

  "Jika ada antara mereka yang ketinggalan dalam pembayaran, mereka ini perlu diberi moratorium.  

  "Tiada implikasi kewangan yang besar kepada pihak bank kerana sebelum ini apabila mereka memberi moratorium automatik selama enam bulan kepada semua, pihak bank masih mencatatkan keuntungan berbilion ringgit.

 "Oleh itu kali ini, jika moratorium bersasar diberikan kepada golongan terjejas, pihak bank masih akan mencatatkan keuntungan yang besar.

"Jika moratorium tidak diberikan, ia dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada ekonomi dan sosial dari segi peningkatan kes peniaga gulung tikar yang boleh meningkatkan kadar pengangguran dan muflis," katanya kepada Bisnes Metro.

   Menurutnya, jika ini berlaku, bukan sahaja individu terbabit yang akan terjejas, malah isi rumah yang bergantung kepada individu terbabit dan masyarakat sekeliling juga bakal terdedah kepada masalah sosial.

   Ditanya sekiranya PKP penuh dilaksanakan dan wajarkah moratorium automatik diberikan, beliau berkata, adalah lebih baik moratorium bersasar diberikan kepada golongan terjejas dan bergantung kepada permohonan.

  "Dan moratorium bersasar terbabit bagi tempoh tiga bulan walaupun PKP hanya sebulan.

  "Ini kerana keutamaan perlu diberi kepada pemohon sebelum ini yang memohon untuk penstrukturan bayaran dan mereka ini yang sepatutnya diberi moratorium automatik," katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2021 @ 7:10am
d