bisnes

Bina jenama sendiri

STONE Tyre Enterprise komited untuk menjadi pengedar tayar motosikal terbesar dan mengeluarkan produk aksesori jenama sendiri bagi pasaran Selangor dan Kuala Lumpur dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengurusnya, Muhamad Faizal Mohd Sahrin berkata, sebagai permulaan, pihaknya merancang untuk membuka dua cawangan baru Stone Tyre menjelang suku kedua tahun depan.

Katanya, pemilihan lokasi yang strategik memainkan peranan penting untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi keperluan pelanggan.

"Buat masa ini, cawangan pertama kami berada di Rawang dan menjelang akhir tahun, kami akan membuka Stone Tyre di Saujana Utama Sungai Buloh.

"Walaupun masih baru, perkhidmatan ditawarkan di Stone Tyre mendapat sambutan pelanggan kerana kami menawarkan servis yang selesa untuk pelanggan bukan sahaja lelaki, malah penunggang (rider) wanita.

"Istimewanya, kami menyediakan pelbagai jenama tayar berkualiti pada harga di bawah pasaran dan tiada caj pemasangan dikenakan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, selain perkhidmatan tukar tayar motosikal (model biasa sehingga 250cc), Stone Tyre juga menjual aksesori dan servis mencuci termasuk motosikal berkuasa tinggi.

Muhamad Faizal berkata, bagi menyokong gig ekonomi, pihaknya turut menawarkan harga istimewa tukar tayar kepada semua rider p-hailing.

"Kami menyasarkan jualan kira-kira RM1 juta setahun dan membekalkan tayar secara terus ke kedai motosikal berhampiran.

"Selain itu, Stone Tyre juga bersedia untuk membantu mana-mana usahawan Melayu yang berminat untuk mendapatkan nasihat bimbingan meneroka perniagaan tayar motosikal.

"Kami terbuka menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan untuk melahirkan usahawan automotif bersama berkongsi pengalaman dalam industri ini," katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2021 @ 7:20am
d