bisnes

Lotus's laksana Inisiatif Prihatin 2.0

LOTUSS Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) melaksanakan Inisiatif Prihatin 2.0 untuk membantu golongan kurang bernasib baik di dalam komuniti.

Ia inisiatif tanggungjawab sosial korporat dijalankan dengan kerjasama penyewa pasar raya dan pembekal Lotus's serta organisasi bukan kerajaan (NGO).

Untuk Inisiatif Prihatin 2.0, baucar bernilai RM100 diedarkan melalui 15 stor Lotus's iaitu Lotus's Kota Bahru, Mergong, Sungai Petani Selatan, Kulim, Seberang Jaya, Lumut, Mutiara Damansara, Ara Damansara, Cheras, Setia Alam, Selayang, Nilai, Seremban Jaya, Melaka dan Setia Alam kepada 5,000 penerima bantuan Food Food Foundation. Ketua Pasar Raya Lotus's, Antony Spillett berkata, dengan baucar RM100 itu, penerima dapat menggunakannya untuk pembelian Barangan Berjenama Lotus's dengan harga RM50, pembelian pakaian di kedai pakaian pasar raya Lotus's (RM30) dan pembelian kasut di kedai XES Shoes (RM20).

"Kami tahu bahawa situasi sekarang amat mencabar terutama untuk golongan kurang mampu kerana wabak Covid-19 berlarutan ini. Ramai mendapat impak negatif sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pertama dan belum pulih lagi.

"Inisiatif Prihatin 2.0 ini dirancang untuk hari raya tahun ini dengan kerjasama penyewa kedai di pasar raya yang sama-sama membantu mereka melalui baucar RM50 untuk pembelian Barangan Berjenama Lotus's, tetapi juga dapat membantu mereka dengan pembelian pakaian dan kasut baru untuk menyambut Syawal," katanya dalam kenyataan.

Pengagihan dan penebusan baucar Inisiatif Prihatin 2.0 telah berakhir pada awal Mei 2021, tepat masanya untuk sambutan Hari Raya.

Sementara itu, Inisiatif Prihatin 1.0 yang pertama telah membantu kira-kira 6,000 pelajar B40 kurang mampu dari 21 Program Sekolah Angkat Lotus's.

Melalui Inisiatif Prihatin 1.0, pelajar terpilih diberi kupon makanan yang dapat ditebus dari mana-mana medan selera Lotus's di seluruh negara. Sepanjang inisiatif ini juga, pelajar dan keluarga mereka juga mendapat barang keperluan tambahan seperti beras, minyak masak, minuman panas dan sejenisnya yang disediakan oleh Lotus's, penyewa pasar raya dan pembekal.

Disiarkan pada: May 25, 2021 @ 7:20am
d