bisnes

Untung TM pada suku pertama melonjak 113.4%

Kuala lumpur: Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi suku pertama tahun kewangan 2021 melonjak 113.4 peratus kepada RM325.5 juta berbanding RM152.5 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan TM juga meningkat 9.9 peratus kepada RM2.81 bilion berbanding RM2.56 bilion suku sama 2020 disebabkan peningkatan pendapatan di semua unit perniagaannya iaitu unifi, TM ONE dan TM WHOLESALE.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, inisiatif penambahbaikan kos secara berterusannya juga menunjukkan hasil dengan nisbah jumlah kos operasi (peratusan kos kepada hasil) yang lebih baik pada 79.7 peratus berbanding 88.1 peratus.

Beliau berkata, ia sekali gus menyokong pertumbuhan pendapatan di samping mengoptimumkan kecekapan kos merentasi kos langsung, tenaga kerja, kos operasi lain serta susut nilai dan amortisasi.

TM katanya berjaya membuka tahun ini dengan momentum positif dan permulaan kukuh bagi Program Transformasi TM Baharu 2021-2023, sekali gus merekodkan prestasi tahun ke tahun yang mantap biarpun dalam tempoh yang mencabar ketika ini.

"TM mengulangi peranan peneraju dalam mempercepatkan Digital Malaysia menerusi sambungan digital, infrastruktur digital dan tenaga kerja digital.

"Sebagai pemacu penting, kumpulan bersedia memainkan peranan utama dalam pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan merealisasikan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dengan memanfaatkan sambungan, infrastruktur digital dan penyelesaian inovatif TM yang komprehensif.

"TM dijangka menepati sasaran 2021 yang telah diumumkan pada Februari lalu iaitu pendapatan mencatatkan pertumbuhan mendatar atau satu digit peringkat rendah, pendapatan sebelum faedah dan cukai melebihi RM1.6 bilion dan panduan CAPEX adalah antara 14 hingga 18 peratus daripada pendapatan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, unifi mengekalkan momentum kukuh dan peneraju konvergens dengan pertumbuhan jumlah pelanggan jalur lebar tetap sebanyak 11.9 peratus kepada 2.44 juta, pertambahan pelanggan jalur lebar tetap untuk suku tahun yang tertinggi iaitu sebanyak 110,000.

Peningkatan ini katanya dipacu oleh pertumbuhan jumlah pelanggan unifi.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu, permintaan terhadap jalur lebar tetap meningkat dan menyebabkan unifi berjaya merebut permintaan ini dengan penawaran konvergen yang menarik sekaligus memberikan nilai

terbaik, mudah alih dan kandungan menerusi unifi Plus Box.

"Pertumbuhan ini juga disokong oleh bilangan port dipasang yang lebih tinggi dan pelaksanaan rangkaian fiber yang lebih luas di bawah program JENDELA, di mana TM telah melepasi sasaran suku pertama dengan mencatatkan 141 peratus daripada komitmennya.

"TM juga sedang memperluaskan kumpulan kontraktor rangkaiannya bagi meningkatkan kapasiti program perluasan fiber dalam tahun ini," katanya.

Imri berkata, TM ONE juga terus memacu perjalanan transformasi digital pelanggan perusahaan dan sektor awam dengan himpunan lengkap sambungan, pusat data, awan, keselamatan siber dan penyelesaian pintar.

Disiarkan pada: May 28, 2021 @ 7:01am
d