bisnes

Honda Malaysia hentikan operasi sementara

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Honda Malaysia menutup operasi perniagaannya buat sementara waktu bermula 1 hingga 14 Jun berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang diumumkan kerajaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, operasi perniagaan itu membabitkan kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka, serta pejabat jualan dan bilik pameran wakil penjual di seluruh negara.

Katanya, pihaknya akan terus berkhidmat kepada pelanggan melalui perkhidmatan selepas jualan yang boleh didapati di semua pengedar di seluruh negara.

"Honda Malaysia menggalakkan pelanggan untuk memuat turun aplikasi HondaTouch untuk proses temujanji perkhidmatan selepas jualan yang lebih cepat dan mudah sebelum berkunjung ke pengedar dan untuk mengelakkan masa menunggu yang lama.

"Jumpa terus tidak dibenarkan dan diwajibkan kepada pelanggan untuk membuat temujanji dengan pengedar terdekat mereka (dalam lingkungan 10 kilometer dari rumah mereka) bagi memastikan kereta mereka diterima untuk servis," katanya.

Sementara itu, Honda Malaysia dijangka beroperasi semula pada 15 Jun nanti.

Disiarkan pada: June 1, 2021 @ 6:19pm
d