bisnes

Institusi perbankan Islam komited bantu pelanggan terjejas

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (Aibim) akan terus membantu pelanggan yang terjejas pendapatan akibat penularan Covid-19 dan sekatan pergerakan penuh bermula hari ini hingga 14 Jun nanti.

Aibim dalam kenyataan berkata, pelanggan yang ingin mendapatkan bantuan bayaran balik pembiayaan perlu menghubungi bank masing-masing dan membuat pilihan bantuan yang bersesuaian.

"Untuk memohon, pelanggan dalam kategori ditetapkan diminta untuk menghubungi bank dan kelulusan untuk setiap permohonan adalah automatik.

"Bantuan bayaran balik pembiayaan juga diberi kepada semua pelanggan termasuk kumpulan M40 dan T20 yang mengalami pengurangan pendapatan.

"Mereka boleh mendapatkan pengurangan bayaran balik pembiayaan selaras dengan jumlah pendapatan yang berkurang. Selain itu, penerima bantuan bayaran balik bersasar sebelum ini (sehingga Jun 2021) boleh menghubungi pihak bank sekiranya masih terkesan dan memerlukan bantuan lanjutan," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan) dan sidang media khas bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengumumkan bantuan bayaran balik pembiayaan kepada pelanggan di bawah beberapa kategori.

Kategori pelanggan yang layak memohon bantuan bayaran balik pembiayaan adalah individu yang kehilangan pekerjaan; semua golongan B40 (penerima Bantuan sara Hidup (BSH) / Bantuan Prihatin Rakyat (BPR)); Perusahaan mikro (nilai kemudahan yang diluluskan sehingga RM150,000); dan Perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh sekatan.

Pelanggan dalam kategori terbabit boleh memilih sama ada moratorium selama tiga bulan atau mengurangkan bayaran balik pembiayaan sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Aibim berkata, bank ahli yang bernaung di bawah persatuan itu terus komited untuk membantu pelanggan yang terkesan dan berdepan kesulitan untuk membuat bayaran balik pembiayaan.

Katanya, bantuan terbabit akan tersedia untuk golongan yang terjejas selagi ia diperlukan.

"Pihak bank juga telah merangka proses permohonan dan keperluan dokumentasi yang ringkas bagi memudahkan pelanggan.

"Pelanggan adalah dinasihatkan untuk terus menghubungi bank bagi mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat.

"Cawangan institusi perbankan Islam akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan, melainkan dimaklumkan sebaliknya.

"Pelanggan juga dinasihatkan untuk melayari laman web dan mengikuti media sosial bank untuk mendapatkan maklumat terkini," katanya.

Dalam pada itu, Aibim menjelaskan, seperti yang telah dimaklumkan, rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) penerima bantuan bayaran balik pembiayaan tidak akan terjejas bagi pilihan yang dibuat pada tahun 2021.

"Pelanggan juga boleh mendapatkan nasihat dan bantuan lanjut daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan juga Bank Negara Malaysia (BNM).

"Selain itu, AKPK bersedia untuk memberikan khidmat nasihat dan panduan yang sewajarnya kepada pelanggan individu dan perusahaan mikro, termasuk memberikan pilihan untuk penstrukturan semula hutang.

"Selain menghubungi bank, perusahaan mikro juga boleh mendapatkan bantuan melalui meja bantuan perniagaan mikro yang disediakan khusus oleh AKPK melalui www.akpk.org.my/microhelpdesk," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2021 @ 6:47pm
d