bisnes

RHB, Axiata wujudkan bank digital

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Axiata Group Berhad (Axiata) dan RHB Banking Group (RHB) menjalinkan kolaborasi bersama mewujudkan bank digital seiring usaha kerajaan untuk meningkatkan ekosistem digital.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, Axiata menerusi anak syarikatnya Boost Holdings Sdn Bhd (Boost) mementarai Perjanjian Utama (Head of Agreement) bersama RHB untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

Menurutnya, kerjasama erat ini diyakini mampu meningkatkan keupayaan persaingan dan inovasi transformasi digital negara.

Katanya, kerjasama stratergik ini juga diyakini akan memenuhi permintaan segmen pelanggan runcit dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berkembang pesat.

"Konsortium ini kini dalam proses untuk mendapatkan lesen bank digital daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kami juga berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama bersama RHB bagi menyokong usaha kerajaan dalam sektor kewangan digital," katanya dalam sidang media pengumuman kerjasama itu, hari ini.

Turut bersama dalam sidang media, Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Boost Holdings, Sheyantha Abeykoon.

Kolaborasi ini akan memperluas teknologi kewangan (fintech) Boost menerusi Aspirasi, penyedia pembiayaan mikro digital dan insurans mikro dan e-wallet.

Sementara itu, Khairussaleh berkata, perjanjian persefahaman (MoU) ini membuka ruang kepada RHB dan Axiata untuk menerokai peluang baharu dalam ekosistem kewangan digital.

"Kami percaya kolaborasi ini mampu mencapai kejayaan lebih signifikan terutama dalam meningkatkan pengalaman pelanggan serta memberikan aksesibiliti yang lebih besar ke perkhidmatan perbankan untuk pelbagai pelanggan.

"Tawaran bersama untuk mendapatkan lesen bank digital menunjukkan komitmen kami untuk mewujudkan penyelesaian terbaik kepada pelanggan dalam setiap segmen kewangan," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2021 @ 3:51pm
d