bisnes

Grid Masa Depan pemboleh utama peralihan tenaga

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus memberi keutamaan untuk melabur dalam memodenkan Grid Nasional menjadi Grid Masa Depan, grid pintar yang masih kekal berdaya harap, mudah pulih daripada gangguan, pintar dengan teknologi digital dan fleksibel dalam memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.

Sejajar dengan matlamat peralihan tenaga daripada menggunakan bahan bakar kepada tenaga boleh baharu (RE) sebanyak 31 peratus menjelang 2025, Grid Nasional perlu dipersiapkan untuk menerima suntikan RE supaya berupaya menyokong aliran tenaga dua arah yang dinamik dan pada masa sama mengekalkan kestabilan voltan.

Justeru, di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), TNB merancang melabur RM9 bilion setahun dalam tempoh 2021 hingga 2024 (tertakluk kepada kelulusan kerajaan).

Ia bagi meneruskan usahanya membangunkan Grid Masa Depan menjadi pemboleh utama peralihan tenaga dengan menghubungkan seluruh Rantaian Nilai daripada penjanaan kepada penghantaran dan pembahagian hingga ke premis pelanggan.

Pengguna sebenarnya sudah mula menikmati Grid Masa Depan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menerusi pelaburan modal TNB, juga di bawah IBR.

Antaranya Automasi Pembahagian (DA), penggunaan Sistem Maklumat Geospatial (GIS) dan Infrastruktur Pemeteran Lanjutan dengan sistem grid yang berdaya tahan serta dilengkapi dengan keselamatan siber yang mana semua ciri-ciri ini diguna pakai oleh utiliti tenaga global.

Inisiatif ini bermula dengan program transformasi TNB, Reimagining TNB (RT) sejak 2016.

Penyediaan Grid Masa Depan adalah salah satu daripada empat tonggak utama RT bagi mencapai sasaran TNB sebagai antara 10 utiliti ternama di dunia menjelang 2025.

Menurut Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Husaini Husin, TNB perlu terus melabur supaya grid lebih konsisten dan fleksibel untuk menerima sumber lain, khususnya RE seperti solar yang semakin berkembang dengan ramai pengguna menjadi prosumer.

Pada masa ini, bekalan elektrik negara sudah bertaraf dunia, malah lebih baik berbanding sebahagian negara maju termasuk di Eropah.

Dalam Sistem Minit Penghantaran yang mengukur minit gangguan akibat voltan tinggi setiap tahun, TNB mencatatkan penurunan kepada 0.08 minit pada 2020 bagi 12 tahun berturut-turut di bawah paras dua minit.

Ini adalah pencapaian yang unggul di Asia Tenggara dan di dunia.

Sebagai perbandingan, ESKOM Afrika Selatan mencatat 3.16 minit (2019), TransGrid Australia 0.25 minit (2019) dan FinGrid 0.15 minit (2020).

Pengukuhan sistem grid sahaja tidak mencukupi, kepintaran teknologi digital turut digunakan bagi melengkapkan aspirasi GoTF.

Grid telah merangka satu strategi komprehensif yang dinamakan Program Grid Transformasi Digital, memfokus kepada pembangunan digital pada empat teras asas iaitu aset, warga kerja, sistem dan inovasi.

Sebanyak 55 inisiatif digital giat dijalankan di bawah program ini dan dikemudi oleh Control Tower, satu fungsi baharu yang diwujudkan bagi memastikan perjalanan transformasi grid digital dilaksanakan dengan berkesan selain memaksimumkan pulangan pelaburan yang dibuat selaras dengan aspirasi RT.

Disiarkan pada: June 8, 2021 @ 7:00am
d