bisnes

Hartalega selesai bayaran yuran pengambilan pekerja

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) telah selesai menjelaskan pembayaran balik yuran pengambilan pekerja, berjumlah RM41 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hartalega berkata, setelah memulakan proses itu pada November 2020, pembayaran balik itu telah diselesaikan dalam tempoh lapan bulan pada 4 Jun 2021, lebih awal daripada sasaran.

"Pembayaran balik itu dibuat kepada pekerja ketika menyertai kumpulan itu sebelum pelaksanaan Dasar Pengambilan Kos Sifar pada 1 April 2019, dan sebelum ini telah membayar yuran pengambilan kepada ejen pekerjaan semasa proses pengambilan pekerja," katanya.

Selain itu, Hartalega akan membayar balik pekerja yang menyertai kumpulan di bawah Dasar Pengambilan Kos Sifar.

"Di bawah dasar itu, Hartalega telah menubuhkan empat pusat pemeriksaan iaitu semasa peringkat temuduga di negara sumber, sebelum berlepas ke Malaysia, ketibaan di Malaysia dan tiga bulan bekerja dengan Hartalega bagi memastikan pekerja tidak perlu membayar sebarang bayaran," katanya.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata ia menyedari hakikat meskipun terdapat pusat pemeriksaan yang ketat di tempatnya, masih ada pekerja yang mungkin tidak melaporkan apa-apa pembayaran yang telah mereka lakukan.

"Oleh itu, kumpulan ini berhubung dengan pekerjanya untuk menyelesaikan perkara tersebut.

"Ini adalah sebahagian daripada komitmen kumpulan untuk memastikan tiada seorang pun pekerjanya membayar apa-apa yuran untuk bekerja di Hartalega," katanya.

Menggambarkan komitmennya untuk terus meningkatkan amalan pematuhan sosialnya, Hartalega berkata ia telah melancarkan fasa program pemulihan seterusnya.

Ini termasuk memperluas program itu kepada bekas pekerja Hartalega yang telah meninggalkan syarikat tersebut pada atau setelah Dasar Pengambilan Kos Sifar dilaksanakan, tambahnya.

Disiarkan pada: June 8, 2021 @ 6:21pm
d