bisnes

Pusat Inovasi Alibaba Cloud di ibu negara

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Alibaba Cloud, cabang teknologi digital dan kepintaran Alibaba Group akan melancarkan Pusat Inovasi Alibaba Cloud di ibu negara bagi menyediakan persekitaran yang kondusif kepada syarikat pemula niaga untuk berkembang di Malaysia dan di luarnya.

Pusat itu adalah sebahagian daripada Projek AsiaForward untuk mewujudkan sejuta kumpulan tenaga kerja digital dan memperkukuhkan 100,000 pembina serta pertumbuhan 100,000 syarikat pemula niaga teknologi di Asia Tenggara dan Hong Kong dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan dana dan sumber awal berjumlah AS$1 bilion (RM4.11 bilion).

"Syarikat itu turut berhasrat melatih 30,000 profesional tempatan bagi tahun kewangan fiskal yang akan datang di Malaysia bagi memperkukuhkan komitmen kemajuan tenaga kerja domestiknya.

"Sebagai pusat inovasi antarabangsa pertama yang terletak di luar China, pelancaran itu adalah seiring komitmen jangka panjang Alibaba Cloud untuk memajukan tenaga kerja digital dan menyumbang kepada kemajuan perniagaan tempatan di Asia Pasifik," katanya dalam kenyataan.

Pengurus Besar Unit Perniagaan Antarabangsa Alibaba Cloud Intelligence, Selina Yuan berkata, penyedia perkhidmatan awan itu komited untuk melabur dalam masa depan digital di Malaysia dan membuka pusat inovasi antarabangsanya yang pertama di Malaysia sebagai bukti komitmennya yang berpanjangan kepada negara itu.

"Menerusi pusat inovasi ini, kami berharap dapat membantu perniagaan di Malaysia bukan sahaja bertahan dan berkembang semasa pandemik, malah menyediakan persekitaran yang kondusif untuk memajukan tenaga kerja tempatan, mempersiapkan mereka untuk memanfaatkan masa depan digital," katanya.

Menurutnya, syarikat pemula niaga dalam industri perkhidmatan teknologi kewangan, perbankan, internet, peruncitan dan teknologi maklumat (IT) boleh menerima banyak faedah daripada pusat inovasi itu.

Disiarkan pada: June 10, 2021 @ 8:24am
d