bisnes

Pakej bantuan bayaran balik bersasar Public Bank

Kuala Lumpur: Public Bank Bhd terus komited untuk memberikan bantuan pembayaran balik bersasar kepada pelanggannya yang berdepan kesukaran untuk membayar balik pinjaman berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dan pandemik COVID-19.

Bank itu berkata, pakej pembayaran balik yang fleksibel ini disediakan untuk semua segmen pelanggan individu serta perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan pelbagai bantuan dalam bentuk penangguhan atau pengurangan bayaran ansuran bulanan.

"Untuk memudahkan lagi pelanggan, Public Bank membangunkan satu platform digital bagi membolehkan pemprosesan permohonan pelanggan secara terus melalui dalam talian bagi bantuan pembayaran balik itu," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tay Ah Lek berkata, program bantuan pembayaran balik bersasar bank, setakat ini membantu lebih 160,000 pelanggan.

Katanya, ia dengan nilai bantuan hampir RM40 bilion dengan kadar kelulusan hampir 100 peratus daripada jumlah pengemukaan oleh pelanggan.

"Usaha Public Bank yang proaktif dalam memberi bantuan kewangan berkenaan berserta inisiatif kerajaan dan Bank Negara Malaysia untuk memulihkan semula ekonomi membantu ramai pelanggan membina semula kekuatan mereka dari segi kewangan," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai bantuan ini, boleh layari https://www.pbebank.com.

Disiarkan pada: June 15, 2021 @ 7:02am
d