bisnes

Pelabuhan sediakan kemudahan bunkering LNG

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Pelabuhan Klang berjaya menjalankan operasi bekalan gas asli cecair (LNG) pertama dengan kerjasama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di kawasan pelabuhan Pintu Gedung semalam.

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Kapten K Subramaniam berkata, sejumlah 360 tan metrik bahan bakar LNG dipindahkan oleh kapal bunker LNG, MV Avenir Advantage yang dikendalikan Petronas ke kapal tangki minyak dan kimia yang baharu, MT Solar Roma.

Katanya, ia dijalankan dalam operasi kapal ke kapal yang dilakukan di kawasan dikhaskan.

"Penggunaan LNG sebagai bahan bakar alternatif membantu mengurangkan pelepasan karbon dan gas rumah hijau lain (GHG) selaras dengan peraturan IMO ke arah pelepasan sifar bahan pencemaran dari kapal menjelang 2050 sebagai satu langkah penting dalam memerangi pemanasan global dan perubahan iklim.

"Sebagai hab perkapalan utama di rantau ini, Pelabuhan Klang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada kapal-kapal untuk menyokong operasi mereka ketika berlabuh di pelabuhan untuk pertukaran kargo termasuk perkhidmatan bunkering.

"Beberapa syarikat perkapalan utama yang berlabuh di Pelabuhan Klang sudah menggunakan kapal yang berkuasa LNG, oleh itu adanya keperluan bagi pelabuhan untuk menyediakan kemudahan pengisian bahan bakar (bunker) LNG," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, LPK sudah memulakan usaha bekerjasama dengan pemain industri untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan dan meletakkan Pelabuhan Klang sebagai hab bunkering LNG yang terkemuka pada masa hadapan.

Katanya, dalam memastikan pelabuhan tersedia dengan kemudahan bunker LNG yang mencukupi, LPK bekerjasama dengan operator terminal, Jabatan Laut Malaysia dan pemain industri untuk menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta garis panduan keselamatan yang ketat untuk operasi pengisian gas cecair asli (LNG) sesuai dengan piawaian antarabangsa.

"Keperluan itu mustahak bagi syarikat perkapalan untuk menilai dan membuat keputusan yang tepat bagi mendapatkan perkhidmatan bunker bagi kapal mereka.

"Operasi bunkering LNG yang dilakukan itu mematuhi garis panduan keselamatan dan pengalaman ini membolehkan LPK melakukan lebih banyak penambahbaikan pada masa akan datang.

"Menerusi inisiatif baharu ini, Pelabuhan Klang akan terus bekerjasama erat dengan industri perkapalan dalam menyediakan perkhidmatan yang berkesan dan efisien demi memenuhi keperluan industri," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2021 @ 2:32pm
d