bisnes

AXA AFFIN Life Insurance galak pelanggan terima vaksin

Kuala Lumpur: AXA AFFIN Life Insurance Bhd menawarkan Bantuan Dana Sokongan Covid-19 untuk membantu pelanggan selain menggalakkan mereka menerima suntikan vaksin.

Dalam kenyataan syarikat itu berkata, kemudahan itu diperkenalkan pada Februari 2021 dengan dana RM200,000 yang diberi tanpa kos tambahan untuk pelanggan polisi perubatan AXA AFFIN yang terjejas akibat Covid-19 atau mengalami kesan sampingan selepas vaksinasi.

"Dana ini disediakan sehingga 31 Ogos 2021 atau sehingga diagihkan sepenuhnya iaitu mana yang terdahulu.

"Peruntukan dana ini bertujuan menyokong kesihatan dan kesejahteraan pelanggan AXA AFFIN Life Insurance dengan memberi bantuan segera dalam bentuk tunai," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Bertugas AXA AFFIN Life Insurance Bhd, Kelvin Wong berkata, bantuan itu dapat meringankan beban pelanggan yang terjejas akibat jangkitan atau vaksinasi Covid-19.

Turut ditawarkan termasuk bantuan tunai RM1,000 jika pelanggan perlu dikuarantin di pusat ditetapkan oleh kerajaan,

Selain itu, bantuan tunai RM2,000 jika mereka dikuarantin di hospital kerajaan atau swasta.

"Bantuan tunai RM10,000 untuk ahli keluarga terdekat pelanggan jika berlaku kematian akibat Covid-19, manakala bantuan tunai sehingga RM10,000 sekiranya dimasukkan ke wad ICU (unit rawatan rapi) selain ujian pengesanan PCR Covid-19 percuma bernilai RM190," katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi www. axa.com.my.

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 7:37am
d