bisnes

Nestlé lantik pengarah bukan eksekutif baharu

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Nestlé (Malaysia) Bhd melantik Dr Tunku Alina Raja Muhd Alias sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas baharunya berkuatkuasa hari ini.

Pengeluar makanan dan minuman terkemuka itu berkata, Tunku Alina juga dilantik sebagai anggota Tadbir Urus, Pencalonan dan Pampasan.

Ia berkata, Tunku Alina memulakan kerjayanya sebagai pengamal undang-undang dengan Skrine & Co pada 1987 dan pada 1992, beliau menubuhkan firma guaman yang dikenali sebagai Wong Lu Peen & Tunku Alina, yang mana beliau berkhidmat sebagai Rakan Urusan selama hampir 20 tahun dan kini menjadi perunding dengan firma itu.

Katanya, Tunku Alina mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang seperti perundingan pelanggan dan penyelesaian pertikaian, memberikan nasihat dalam aspek kepatuhan dan kawal selia untuk pelaburan dan pembangunan hartanah.

"Dengan pengalamannya yang luas, kepakaran dan latar belakang yang kukuh, terutama dalam kemampanan dan tadbir urus korporat, perlantikan Tunku Alina akan membawa kepelbagaian dalam Lembaga Pengarah dan terus menyokong aspirasi kumpulan untuk terus maju dalam perjalanannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nestle berkata, Tunku Alina juga memiliki pengalaman luas dalam bidang perniagaan dan akademik termasuk berkhidmat sebagai Profesor Adjung Undang-Undang Kewangan Islam di University of Miami dan menjadi ahli jawatankuasa International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF).

Tunku Alina juga berada dalam Lembaga Pengarah beberapa syarikat senaraian awam seperti IJM Corporation Bhd, Malaysian Pacific Industries Bhd dan Batu Kawan Bhd.

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 7:39pm
d