bisnes

Jaffri Amin rakyat Malaysia pertama dilantik Pengerusi GA Asia Pasifik

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Global Alliance For Public Relations And Communication Management (GA) iaitu gabungan Kesatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi utama dunia, telah memilih Naib Presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM), Jaffri Amin Osman sebagai ahli Lembaga Eksekutifnya.

Beliau juga adalah rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pengerusi GA Asia Pasifik.

Jaffri adalah seorang pengamal Perhubungan Awam yang bertauliah dan ahli Felo IPRM dengan pengalaman melebihi 30 tahun.

Pemilihan beliau sebagai anggota Lembaga Eksekutif GA berkuatkuasa bagi penggal 2021 hingga 2023.

Penghormatan ini selari dengan perkembangan semasa geopolitik, demografi serta ekonomi yang dinamik dan mampan pelbagai sektor di rantau ini.

Presiden IPRM, Datuk Seri Ibrahim Abdul Rahman berkata, Model PR dan Komunikasi Global 2021 serta peranan dan tugas Jaffri yang pelbagai di GA sememangnya selari dengan visi IPRM untuk meningkatkan perkembangan Perhubungan Awam Malaysia dengan amalan terbaik dan pemerolehan pengetahuan.

"Model Perhubungan Awam dan Komunikasi Global 2021 Global Alliance yang mempromosikan pemerkasaan reputasi, kepercayaan dan kesahihan sosial adalah contoh bagaimana kita semua di Malaysia dan di rantau Asia Pasifik, dapat berkongsi, belajar dan berdaya maju dengan pembabitan kolektif kita bersama GA.

"IPRM kini sudah matang. Ia bakal menyambut ulang tahun ke-60 pada 2022. IPRM telah mengembangkan kehadiran jenamanya melalui banyak program membabitkan ahli daripada pelbagai sektor termasuk institusi pendidikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jaffri telah memainkan peranan utama dalam memperkenalkan program IPRM CHALK - akronim yang menengahkan Perhubungan Awam melalui teknik Berbual (Chatting), Mendengar (Listening) serta Berkongsi Pengetahuan (Knowledge Sharing).

Melalui usahanya, IPRM telah berjaya mengadakan 26 jerayawara CHALK, meliputi lawatan ke Petronas Sabah, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Sarawak Energy dan Khazanah Nasional, serta perkongsian Perhubungan Awam di institusi pengajian tinggi dan beberapa pertubuhan media.

Ketika ini, Jaffri adalah Pengarah Urusan di World Communications Network di Kuala Lumpur.

Agensi ini menguruskan aktiviti Perhubungan Awam dan komunikasi sejak 1994.

Beliau juga telah menubuhkan Persidangan Perhubungan Awam Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIP), yang mendapat sambutan memberangsangkan dengan penceramah serta penyertaan global.

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 7:51pm
d