bisnes

Misi Medac lahir 100 jutawan PKS setahun

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) optimis penjenamaan semula Perbadanan Nasional Berhad yang membabitkan pertukaran akronim dan logo dari PNS kepada Pernas, dapat memperkukuhkan lagi kedudukan agensi itu sebagai peneraju pertumbuhan industri francais di Malaysia.

Malah, ia juga dapat membantu mencapai sasaran Medac melahirkan 100 jutawan setahun dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya dalam kalangan usahawan francais.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, industri francais antara sektor utama selain dari koperasi dan usahawan PKS yang memberi impak penting dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Selain perniagaan francais, Pernas juga membangunkan usahawan PKS ke arah francais mampu milik agar lebih ramai bakal usahawan dapat menceburi bidang perniagaan francais.

"Perniagaan francais dilihat sebagai model perniagaan pilihan usahawan memandangkan perniagaan francais ini mempunyai sistem perniagaan yang mudah diikuti dan berkesan dalam membangunkan usahawan tempatan.

"Saya yakin, ia dapat membantu kita mencapai 100 jutawan setahun dalam kalangan PKS," katanya.

Menurutnya, industri francais berkembang pada tahap yang membanggakan dengan peningkatan nilai jualan tahunan sebanyak 17.3 peratus iaitu RM13.3 bilion berbanding RM11 bilion pada tahun 2019.

Sehingga kini, sebanyak 1,077 syarikat francais berdaftar di mana daripada jumlah itu, sebanyak 68 syarikat francais tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan berada di 70 negara.

Sementara itu, Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, sejak 2004 sehingga kini, Pernas mengeluarkan pembiayaan hampir RM1.3 bilion kepada lebih dari 5,500 usahawan dan mewujudkan lebih 34,000 peluang pekerjaan.

"Selaras dengan penjenamaan semula ini, Pernas akan terus agresif membangunkan lebih banyak jenama francais tempatan termasuk melancarkan dua projek terbaharu iaitu Projek Xcelerator dan Projek Be Your Own Boss (BYOB) pada awal tahun dengan sasaran melahirkan lima usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi," katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2021 @ 7:00am
d