bisnes

Perlu bijak urus wang moratorium

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Wang yang dapat 'dijimatkan' hasil daripada pelepasan moratorium yang diberikan institusi kewangan perlu diuruskan sebaik-baiknya bagi mengelakkan masalah lain timbul di kemudian hari.

Penulis kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, langkah pertama yang perlu diambil adalah mewujudkan dana kecemasan sekiranya belum pernah memiliki tabungan berkenaan sebelum ini.

"Jika kita mempunyai komitmen bulanan dengan bank sebanyak RM1,200 dengan moratorium selama enam bulan ini, kita dapat menjimatkan RM7,200 dan jumlah berkenaan perlu dimasukkan ke dana kecemasan.

"Duit daripada dana ini hanya boleh digunakan untuk kecemasan termasuk membeli barangan keperluan asas sekiranya pendapatan terjejas," katanya.

Menurutnya, selain itu wang berkenaan juga boleh digunakan untuk membayar baki hutang kad kredit memandangkan kadar faedah yang dikenakan sangat tinggi.

"Semakin lama hutang kad kredit dibiarkan, ia akan memburukkan keadaan kewangan kita kerana kadar faedahnya antara 12 hingga 15 peratus.

"Maka, cara terbaik adalah selesaikan hutang ini terlebih dulu," katanya.

Azizul berkata, bagi mereka yang memilih untuk mengambil moratorium ini walaupun masih mempunyai pekerjaan dan pendapatan tidak terjejas, maka wang berkenaan perlu digunakan untuk menyelesaikan hutang lain yang mungkin jumlahnya tidak terlalu tinggi.

"Kaedah ini dipanggil kesan bola salji di mana ia memerlukan kita menyelesaikan hutang yang mencatatkan baki paling rendah supaya lebih mudah untuk menguruskan hutang dengan jumlah lebih besar," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sekarang bukan masa yang terbaik untuk memulakan pelaburan kerana risiko menanggung kerugian adalah tinggi.

"Sekiranya anda memang sudah mahir dengan selok-belok pelaburan, mungkin instrumen pelaburan boleh menjadi pilihan untuk menggandakan pendapatan namun, bagi mereka yang baru berjinak-jinak, ia bukan jalan terbaik.

"Malah, saya galakkan menggunakan wang moratorium itu untuk pelaburan di Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB)," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2021 @ 7:00am
d