bisnes

2 pemenang dapat Nissan Almera, X-Trail

Kuala Lumpur: The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan Media Prima Omnia mengumumkan pemenang hadiah utama bagi acara Pameran Hartanah MyRumah 2019.

Pemenang yang terpilih ialah Noryana Yom yang hadir ke acara MyRumah di Kuantan City Mall yang berlangsung pada 20 hingga 22 September 2019.

Beliau membeli sebuah rumah dan menerima kereta Nissan Almera 1.5L VL tajaan Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Ahmad Lokman Mansor berkata, berikutan wabak Covid-19, pengumuman pemenang terpaksa ditangguhkan lebih setahun.

"Ini adalah sebagai menghargai kehadiran pengunjung di semua lokasi acara MyRumah yang diadakan di Kuala Lumpur, Melaka, Johor Bahru, Kuantan dan Ipoh yang membabitkan ramai pemaju, vendor dan pengendali perkhidmatan merangkumi hartanah, kewangan, khidmat nasihat dan perkakasan.

"Hadiah utama ini melambangkan komitmen kami terhadap pengunjung yang membeli rumah sepanjang sesi jelajah MyRumah 2019 di mana kita menyediakan platform kepada mereka untuk mencari kediaman pertama dan perkhidmatan perumahan," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Kumpulan NSTP dan Media Prima Omnia turut mengumumkan pemenang bagi seminar NSTP NewsConnect 2019.

Seminar yang dikendalikan seminggu di The Majestic Kuala Lumpur pada 18 hingga 22 Mac 2019 mengumpulkan seramai 1,301 peserta dan 858 syarikat, dengan jumlah jualan keseluruhan mencecah sebanyak RM15.1 juta.

Pengumuman pemenang dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif Omnia, Datuk Michael Chan di Balai Berita Bangsar.

Pemenang yang terpilih adalah Karcher Cleaning System Sdn Bhd yang akan menerima kereta Nissan X-Trail 2.5L tajaan ETCM.

Chan berkata, pengumuman itu melambangkan komitmen Kumpulan terhadap pelanggan yang menghadiri seminar NewsConnect 2019.

"Ini adalah penghargaan atas usaha mereka yang bekerjasama dengan kami untuk meningkatkan kuasa pemasaran dan pengiklanan kepada perniagaan mereka.

"NewsConnect 2019 membuktikan jenama NSTP adalah relevan dan banyak membantu dari segi pemasaran, pemilikan dan perkhidmatan. Sudah tentu, pengumuman ini menjadi kayu pengukur kepada kredibiliti kami," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2021 @ 7:01am
d