bisnes

Hotel Istana tutup operasi 1 September

Oleh Marina Emmanuel

Kuala Lumpur: Hotel Istana Kuala Lumpur akan menutup operasinya 1 September ini.

Pengurusan hotel itu memaklumkan skim pemisahan sukarela ditawarkan kepada pekerja hotel yang terjejas.

Hotel lima bintang dengan 486 bilik itu terletak di sepanjang Jalan Raja Chulan, dekat sini.

"Kami membuat keputusan ini (untuk menghentikan operasi) selepas mempertimbangkan keadaan sekarang dan semua pilihan yang ada.

Kami tidak mempunyai pilihan lain selain meneruskan penutupan ini," kata Pengurus Besar hotel Noorazzudin Omar berkata dalam pemberitahuan pemberhentian kepada kakitangan.

Noorazzudin berkata, daya saing hotel menurun dalam jangka masa tertentu ketika berdepan persaingan dari hotel dan pangsapuri servis baharu yang berdekatan.

"Situasi sekarang lebih parah akibat pandemik Covid-19 yang sudah dan terus mempengaruhi industri kita dan kemampuannya untuk mencapai keadaan normal.

"Ini mempengaruhi perniagaan, harga, pulangan dan tempahan bilik kami walaupun ada usaha terbaik.

"Walaupun sebagai hotel kuarantin, kami mengalami kerugian operasi bulanan.

"Oleh itu, setelah penilaian yang tepat tentang hotel dan kelangsungannya, kami memutuskan untuk menghentikan operasi," kata Noorazzudin.

Hotel Istana Kuala Lumpur dimiliki oleh Tradewinds Corp Berhad.

Tradewinds adalah salah satu pemilik dan pengendali hotel terbesar di negara ini, dengan tujuh aset hospitaliti di bawahnya.

Tiga di antaranya adalah resort yang merangkumi Mutiara Taman Negara, Meritus Pelangi Beach Resort and Spa di Langkawi, dan The Danna Langkawi yang disebut-sebut sebagai hotel utama kumpulan.

Empat hotel bandar dan perniagaan lain adalah Hotel Istana Kuala Lumpur, Hilton Petaling Jaya, Hilton Kuching dan Mutiara Johor Baru yang berhenti beroperasi pada bulan Mei tahun ini.

Disiarkan pada: July 1, 2021 @ 11:19am
d