bisnes

Prasarana umum pengerusi dan presiden/CEO baru

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan pelantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim sebagai Pengerusi Kumpulan dan Mohd Azharuddin Mat Sah sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan yang baru berkuatkuasa serentak pada 15 Julai 2021.

Prasarana dalam kenyataan berkata, pengalaman luas yang dimiliki oleh kedua-dua tokoh dalam menerajui syarikat-syarikat besar dari segi operasi dan pentadbiran, serta pembabitan mereka di dalam merangka polisi dan inisiatif bagi sektor awam adalah satu kelebihan besar buat Prasarana dalam meneruskan agendanya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam khususnya dalam berhadapan dengan cabaran penularan pandemik Covid-19.

Jamaludin adalah Presiden and Ketua Eksekutif Kumpulan bagi Axiata Group Berhad (Axiata) sebelum persaraannya di akhir tahun 2020.

Dikenali sebagai tulang belakang yang mengemudi transformasi Axiata daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada gergasi telekomunikasi amat disegani yang beroperasi di 11 negara Asean dan Asia Selatan, beliau membawa bersama beliau pengalaman kerja selama lebih 40 tahun; termasuk 16 tahun di bidang Teknologi Maklumat, 23 tahun dalam telekomunikasi dan pelbagai bidang lain di dalam sektor awam dan swasta khususnya pendidikan.

Terkini pada tahun 2020, beliau dilantik oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ahli Majlis Tindakan Ekonomi yang diberi mandat untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama, dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau juga adalah ahli Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang berfungsi sebagai tadbir urus tertinggi dalam menetapkan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital dan 4IR di negara ini.

Sementara itu, pelantikan Azharuddin sebagai Presiden and Ketua Pegawai Kumpulan Prasarana pula akan memberikan sinergi dan perspektif dari sudut pengangkutan awam, selari dengan pengalaman beliau di dalam industri pengangkutan awam darat dan udara.

Terdahulu, Azharuddin berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Transformasi, Malaysia Airlines Berhad dari 2019 hingga 2021, dan bertanggungjawab bagi porfolio merangkumi pelan transformasi jangka panjang serta bahagian teknologi maklumat dan digital syarikat penerbangan itu.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) antara 2015 dan 2018, dan berkhidmat dengan agensi transformasi negara, Pemandu sebagai Pengarah Bahagian Pengangkutan Awam Darat Bandar dan Greater KL/Lembah Klang dari 2014 hingga 2015.

Ketika berkhidmat di SPAD, Azharuddin bertanggungjawab untuk hal-hal berkaitan polisi, perancangan, pembangunan dan penguatkuasaan undang-undang pengangkutan awam darat serta penambahbaikan perkhidmatan rel (LRT, MRT, ERL, monorel dan KTM), teksi, bas serta kenderaan perdagangan.

Azharuddin adalah graduan Universiti of Kent di Canterbury, United Kingdom dengan ijazah Sarjana Muda Sastera – Ekonomi dan Undang-undang.

Beliau memulakan karier dengan Shell Malaysia dan seterusnya ditempatkan di United Kingdom di Shell International Petroleum Company, London.

Selepas berkhidmat dengan Shell selama 11 tahun, beliau meneruskan kerjaya di Khazanah Nasional sebagai Naib Presiden Kanan; Pengarah Sektor Awam di Microsoft Malaysia; dan Pengarah di Pemandu.

Dengan gabungan dan kerjasama rapat kedua-dua tokoh ini, Lembaga Pengarah Kumpulan Prasarana yakin misi syarikat untuk melaksanakan transformasi strategik dalam sistem pengangkutan awam negara dan memacu pertumbuhan ekonomi, serta menjadi pemangkin bagi merancakkan semula sektor komersial dan perniagaan dapat direalisasikan.

Disiarkan pada: July 1, 2021 @ 7:23pm
d